HomeUtamaTanjung Simpang Mengayau dibuka semula kepada awam

Tanjung Simpang Mengayau dibuka semula kepada awam

Read Time:3 Minute, 10 Second

KUDAT: Ikonik Tanjung Simpang Mengayau, yang lebih dikenali sebagai Tip of Borneo, kini dibuka semula kepada orang awam secara rasmi selepas melalui projek pemulihan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew merasmikan pembukaan semula itu pada Isnin dengan melancarkan Pusat Maklumat Pelawat yang baharu siap dibina, sekali gus menekankan kepentingan budaya dan potensi pelancongan kawasan tersebut.

“Pada tahun 2018, kawasan seluas 11 hektar ini telah diwartakan untuk kegunaan awam dan diletakkan di bawah penjagaan kementerian saya. Sejak itu, kami komited untuk melindungi, menambah baik serta mempromosikan mercu tanda istimewa ini demi manfaat penduduk tempatan dan pelancong antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kawasan berkenaan telah ditutup sementara sejak Januari 2022 bagi membolehkan kerja-kerja penaiktarafan penting dilaksanakan demi meningkatkan pengalaman pelawat tanpa menjejaskan keindahan semula jadi lokasi tersebut.

Christina berkata, projek penaiktarafan itu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan kerja-kerja telah siap sepenuhnya pada 30 September 2024.

Pusat Maklumat Pelawat yang baharu siap dibina di Simpang Mengayau, Kudat.

Pusat Maklumat Pelawat itu menempatkan kemudahan seperti kedai cenderamata yang dikendalikan oleh Kadaiku yang menjual produk dan kraf tempatan, serta sebuah kafe yang bakal dibuka tidak lama lagi.

Christina (kanan) menurunkan tandatangan pada plak sebagai simbolik pembukaan rasmi Pusat Maklumat Pelawat di Simpang Mengayau, Kudat. Turut kelihatan dari kiri: Effendi Mahany (Pengurus Produk STB), Thonny Chee (CEO SPS), Wong Su Vui (Ahli Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah), Peter Lintar (Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah), dan Datuk Josie Lai (Setiausaha Tetap KePKAS).

“Kementerian bercadang menyerahkan pengurusan kawasan ini kepada Sri Pelancongan Sabah (SPS) bagi memastikan operasi pelancongan yang lebih sistematik dan mampan. Selain itu, beberapa perancangan sedang diusahakan untuk memperkenalkan aktiviti baharu bagi menjadikan Tip of Borneo destinasi yang lebih meriah,” katanya.

Tambah beliau, usaha penambahbaikan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan kementerian melalui agensinya, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bagi mempromosikan sektor pelancongan di kawasan tersebut dan memperkasa ekonomi setempat, selain memastikan mercu tanda unik Sabah kekal mesra pelawat, bermaklumat dan mudah diakses.

Liew turut menyeru semua pengunjung agar bersama-sama menjaga kebersihan dan keindahan kawasan berkenaan.

“Marilah kita bekerjasama untuk mengekalkan keindahan destinasi ikonik ini demi generasi akan datang. Buang sampah dengan bertanggungjawab, hormati alam sekitar dan bantu kami memelihara ketenangan serta pesona semula jadi yang menjadikan tempat ini begitu istimewa,” katanya.

Terletak di hujung utara Sabah, tempat pertemuan Laut China Selatan dan Laut Sulu, Tip of Borneo merupakan antara tarikan semula jadi paling kerap dikunjungi dan dirakam lensa kamera di negeri ini, terkenal dengan pemandangan lautan yang panoramik serta nilai sejarahnya.

Para pelawat juga boleh menantikan penganjuran semula Music Fest at the Tip of Borneo yang dijadualkan berlangsung pada Disember tahun ini.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Josie Lai; Timbalan Setiausaha Tetap II, Alesia Sion; Setiausaha Politik Liew, Vivien Lee Mee Peng; Pengerusi Lembaga Taman-Taman Sabah, Peter Lintar; Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim; Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah, Thonny Chee; Ketua Pegawai Eksekutif Sabapak Eco, Remystar Taylor; dan Pengurus Produk STB, Effendi Mahany.

Dalam pada itu, Christina turut mengumumkan satu lagi pembangunan penting iaitu projek pembinaan Bangunan Galeri Marin yang terletak bersebelahan Pusat Maklumat Pelawat, turut dilaksanakan di bawah RMK12.

Projek itu bermula pada 28 November 2024 dan dijangka siap pada 28 Mei 2027.

Menurut beliau, galeri yang akan diselia oleh Taman-Taman Sabah itu bakal menjadi galeri marin pertama dan terbesar di Sabah.

“Apabila siap kelak, galeri ini akan mempamerkan kepelbagaian dan keunikan hidupan marin Sabah serta menampilkan konsep pelancongan pendidikan (edu-pelancongan) yang interaktif dan menarik. Ini akan menjadi satu lagi tarikan utama dalam sektor pelancongan yang semakin berkembang di Sabah.

“Kami mengalu-alukan kedatangan pelawat untuk meneroka semula keindahan, budaya dan ketenangan semula jadi di Tip of Borneo yang kini berwajah baharu,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular