Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM10,000 atau, jika gagal membayar, 10 bulan penjara selepas didapati bersalah menjadi orang tengah dalam aktiviti persundalan.
Hakim Mahkamah Elsie Primus menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Amiliana Pius Abdullah, 30, selepas perbicaraan penuh dijalankan.
Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. Namun, mahkamah memerintahkan denda RM10,000 dibayar pada hari ini.
Amiliana didapati bersalah menjadi orang tengah dengan menawarkan hubungan seks seorang warga asing yang ketika itu berusia 20 tahun dengan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun, dengan bayaran RM350 untuk sekali perkhidmatan seks, bagi maksud persundalan.
Kesalahan dilakukan pada 2 Februari 2022, jam lebih kurang 11.30 malam, bertempat di Marina Court Apartment, di dalam daerah Kota Kinabalu.
Dia disabitkan bersalah di bawah Seksyen 372 (1) (f) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 372 (1) Kanun yang sama kerana menyalahguna mana-mana orang bagi tujuan persundalan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 15 tahun dan dengan sebatan, dan hendaklah juga dikenakan denda.
Pihak pendakwaan telah memanggil tujuh orang saksi manakala tertuduh merupakan satu-satunya saksi semasa pembelaan.
Tertuduh diwakili oleh peguam Jack Danautoba Sumatra Thaddeus manakala Timbalan Pendakwa Raya Sofia S. Sawayan mengendalikan pendakwaan.