Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan telah menyampaikan sumbangan sebanyak 23 ekor lembu korban kepada lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan DUN Apas serta kepada pihak agensi keselamatan, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan sukarelawan.
Menurut Nizam, sumbangan tersebut bertujuan meraikan Hari Raya Korban bersama masyarakat setempat selain memperkukuh jalinan ukhuwah antara pemimpin dan rakyat.
“Saya berharap dengan sumbangan ini, ia dapat melahirkan rasa syukur kita kepada Allah SWT serta merapatkan lagi hubungan persaudaraan antara saya dan masyarakat termasuk pihak keselamatan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penyerahan lembu korban di Balai Polis Daerah Tawau, di sini hari ini.
Majlis penyerahan diserahkan oleh beliau kepada Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin. Sebelum itu, Nizam turut mengagihkan sumbangan lembu korban di markas Pertahanan Awam dan Jabatan Bombalai dan Penyelamat Bahagian Tawau.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana negara, khususnya Sabah, kekal dalam keadaan aman dan harmoni, sekali gus membolehkan umat Islam menjalani ibadah korban dengan tenang.
“Program seperti ini juga memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami erti pengorbanan, terutama dalam konteks Aidiladha, walaupun mereka tidak berpeluang menunaikan haji di Tanah Suci,” tambah beliau.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, usaha berterusan pejabat DUN Apas dalam menganjurkan program sebegini akan terus memupuk semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat, termasuk kerjasama erat dengan NGO dan agensi keselamatan.