Kota Kinabalu : Beberapa buah negeri termasuk Sabah diramal akan mengalami cuaca hujan dan ribut petir pada Aidiladha yang bermula esok.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kemaskini di Facebook memaklumkan, selain Sabah, negeri lain yang dijangka terlibat mengalami cuaca sama pada waktu pagi adalah di Selangor, Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pada Sabtu.
MetMalaysia turut memaklumkan, cuaca cerah diramal berlaku pada sebelah petang di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

Pada Ahad, cuaca diramal cerah di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Labuan dan Sarawak.
Pada sebelah petang hari sama, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak diramal alami hujan.
MetMalaysia turut mengingatkan agar masyarakat kekal hidrat dan menggunakan air secara berhemat, khususnya ketika melaksanakan ibadah korban yang memerlukan penggunaan air dalam jumlah besar.

Ramalan cuaca khas itu dikeluarkan bagi membantu orang ramai membuat persiapan awal sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat. – SABAH MEDIA