Kota Kinabalu: Persaingan sengit dalam sektor perkhidmatan awam di Sabah menuntut generasi muda menguasai kemahiran baharu terutamanya teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS), Tan Sri Sukarti Wakiman berkata perubahan landskap pekerjaan memerlukan pencari kerja menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang pantas.
“Kita tidak dapat pastikan bentuk pekerjaan yang akan wujud pada masa akan datang, namun jelas struktur ekonomi dan pekerjaan akan berubah seiring kemajuan teknologi.
“Pelajar dan pencari kerja masa hadapan perlu menguasai kemahiran baharu terutama dalam bidang AI dan teknologi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini baru-baru ini.

Kunjungan itu bertujuan membentangkan Laporan Tahunan SPANS bagi tahun 2024, selaras dengan Perkara 37(10) Perlembagaan Negeri Sabah.
Sukarti berkata, pada tahun lalu, SPANS mengeluarkan 842 iklan jawatan dan seramai 8,000 calon dipanggil menghadiri temuduga.
“Angka berkenaan mencerminkan minat yang tinggi terhadap kerjaya dalam sektor awam, namun turut menunjukkan tahap persaingan yang sangat ketat,” katanya.
Selain itu, sepanjang 2024 SPANS meluluskan 7,553 urusan melibatkan 27 jenis tindakan perkhidmatan melalui 17 mesyuarat penuh dan daripada jumlah itu, perisytiharan harta mencatat jumlah tertinggi iaitu 2,367 kelulusan diikuti 885 pengesahan jawatan.