Kota Kinabalu : Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Api-Api komited dan sedia untuk membantu mana-mana calon dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Api-Api, Datuk Faisyal Yusuf Hamdain Diego berkata, semangat kerjasama dan tolak ansur antara komponen adalah kunci kejayaan kerjasama antara GRS dan PH yang sedia terjalin.
“Kita dalam GRS, dan kita sedia bergabung tenaga membantu siapa saja calon dari GRS atau PH Plus yang akan bertanding.
“Kita juga telah melakukan persiapan bagi menghadapi PRN termasuk semakan data pemilih dan pelaksanaan program-program yang menjurus kepada gerak kerja kempen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Api-Api di sini pada Ahad.
Mesyuarat itu disempurnakan Setiausaha Agung Gagasan Rakyat Datuk Mohd Razali Razi.
Dalam pada itu, Faisyal berkata, jentera parti khususnya pemuda dan beliawanis digesa untuk bersiap sedia berkorban demi kejayaan parti.
“Kita harus berkorban masa dan tenaga untuk parti. Pilihan raya akan datang menuntut komitmen penuh daripada semua lapisan jentera, terutama anak muda,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa lebih 50 peratus pengundi kini terdiri daripada golongan muda.
Justeru katanya, pendekatan strategik melalui program turun padang dan platform seperti ‘Data Science Election’ menjadi keutamaan.
“Kita perlu mendekati pengundi muda secara langsung. Pemuda dan beliawanis perlu berada di hadapan dalam gerak kerja lapangan,” katanya. – SABAH MEDIA