Kudat : Tindakan berani dua bot nelayan jenis pukat tunda menjalankan aktiviti penangkapan ikan kurang dari tiga batu nautika dari pantai mengundang padah apabila berjaya dikesan dan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot tersebut ditahan sekitar jam 6.30 petang hasil maklumat yang diperoleh daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah di kedudukan kira-kira 2.6 batu nautika timur laut muara Marina, Kudat.

“Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Cegah PATI dan Op Tiris segera digerakkan ke lokasi sasaran,
“Ketika tiba, bot terbabit didapati sedang menarik pukat pada jarak yang dilarang iaitu kurang tiga batu nautika dari pantai,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Hasbullah berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, enam individu berada di atas bot, termasuk tekong, dua daripadanya merupakan warganegara tempatan dan empat lagi adalah warga Indonesia. Kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Terdahulu, beliau berkata, sebuah lagi bot nelayan turut ditahan di lokasi kira-kira 2.2 batu nautika timur perairan Tagumamal sekitar jam 7 petang, juga hasil maklumat daripada sistem SWASLA.
Katanya, bot terbabit dilaporkan membawa sembilan kru, termasuk seorang warga Filipina yang didapati mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Keseluruhannya, Maritim Malaysia berjaya merampas lebih 1.5 tan ikan pelbagai jenis dan 2 tan ikan baja hasil daripada kedua-dua penahanan,” tambahnya.
Sementara itu, Hasbullah berkata, semua suspek, termasuk bot dan hasil rampasan, telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen penangkapan ikan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana pemilikan dokumen yang mencurigakan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memperketatkan rondaan dan pemantauan di seluruh perairan Sabah bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan sumber laut negara.
Menurutnya lagi, orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian 088-611858 (Pusat Operasi Maritim Kudat) atau talian kecemasan 999, yang beroperasi 24 jam. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA