Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Empat warga asing dijatuhkan hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana tinggal lebih masa, ada sehingga lebih 20 tahun.
Kesemua tertuduh Longginus Ammi, Sahib Shad, Samandar Shams-Ul-Qadar dan Shabeer Alam mengaku bersalah di hadapan hakim Hurman Hussain.
Longginus, pemegang pasport Indonesia, dijatuhi hukuman penjara 18 tahun kerana tinggal lebih masa selama lebih 20 tahun. Dia ditahan di sekitar kawasan daerah Sook, Keningau pada 27 Mei 2025, dan Pas Lawatan Sosial miliknya hanya sah sehingga 12 Januari 2005.
Sahid, warga Pakistan, pula dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati Pas Lawatan Sosial miliknya hanya sah sehingga 28 November 2019. Dia juga ditahan pada 27 Mei di kawasan yang sama dan telah tinggal lebih masa melebihi lima tahun.
Dua lagi warga Pakistan, Samandar dan Shabeer, dikenakan denda RM10,000 atau 12 bulan penjara atas kesalahan yang sama.
Samandar ditahan pada 27 Mei di sekitar Simpang Jalan Pengaraban, Kudat, selepas Pas Lawatan Sosialnya didapati hanya sah sehingga 13 Jun 2023, menjadikan tempoh tinggal lebih masa melebihi setahun.
Shabeer pula ditahan pada hari yang sama di sekitar Pekan Nabawan selepas Pas Lawatan Sosial miliknya hanya sah sehingga 21 Januari 2023. Dia telah tinggal lebih masa selama lebih dua tahun.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, 14 lagi warga asing dijatuhi hukuman penjara empat bulan setiap seorang selepas didapati memasuki negeri ini tanpa pas atau dokumen yang sah.
Mereka ditahan di beberapa lokasi sekitar Kudat dan Keningau antara 27 dan 29 Mei lalu, dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa pemeriksaan.
Kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, dan boleh juga dikenakan sebatan.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara masing-masing.
Pegawai pendakwa Chin Tze Mee mengendalikan pendakwaan, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.