HomePendapatSekuriti Makanan Negara: Di Manakah Silapnya Tindakan Kita

Sekuriti Makanan Negara: Di Manakah Silapnya Tindakan Kita

Read Time:2 Minute, 41 Second

Oleh: Wan Azrain Adnan

Keterjaminan makanan negara berada pada tahap yang membimbangkan. Malah, bagi sesetengah item makanan asas, situasi semakin merosot, menimbulkan persoalan serius terhadap keberkesanan dasar semasa.

Minggu lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Laporan Awalan Indikator Keterjaminan Makanan Malaysia 2025, yang menonjolkan pelbagai dimensi dan indikator bagi mengukur serta memantau tahap keterjaminan makanan negara secara menyeluruh.

Empat dimensi utama diperincikan dalam laporan ini, merangkumi 46 indikator yang merentasi aspek seperti akses kepada makanan, harga dan bekalan, pendapatan isi rumah, pengeluaran domestik serta kebergantungan terhadap import. Antaranya:

DimensiMaklumatJumlah IndikatorContoh Indikator
KetersediaanKeberadaan fizikal makanan dalam pasaran8Pengeluaran makanan, keluasan pertanian
KebolehcapaianAkses fizikal dan ekonomi terhadap makanan15Pendapatan isi rumah, perbelanjaan
PenggunaanKeberkesanan pemakanan terhadap keperluan nutrisi dan kesihatan13Amalan pemakanan, kesihatan
KestabilanAkses berkala yang mencukupi kepada makanan10Turun naik harga, kebergantungan import

Menurut definisi Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di bawah PBB, keterjaminan makanan bermaksud setiap individu, pada setiap masa, mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat demi kehidupan yang aktif dan sihat.

Namun, indikator semasa tidak memihak kepada Malaysia. Laporan DOSM mendedahkan bahawa tahap keterjaminan makanan kekal rendah walaupun terdapat sedikit peningkatan skor indeks — dari 68.1 (2018) kepada 69.9 (2022). Lebih membimbangkan, kedudukan Malaysia dalam Indeks Keterjaminan Makanan Global terus merosot: dari tangga ke-28 (2019) kepada ke-41 (2022), daripada 113 negara.

Lebih ketara lagi apabila perbandingan dibuat dengan Singapura. Bagi kategori “Kemampuan”, Malaysia mencatatkan skor 87.0 (kedudukan ke-30), berbanding Singapura yang jauh mendahului dengan skor 93.2 (kedudukan ke-2). Bagi kategori “Ketersediaan”, Malaysia hanya merekodkan 59.5 (kedudukan ke-56) berbanding Singapura dengan 77.8 (kedudukan ke-3).

Indeks Keterjaminan Makanan: KategoriMalaysiaSingapura
Kemampuan87.0 (tangga ke-30)93.2 (tangga ke-2)
Ketersediaan59.5 (tangga ke-56)77.8 (tangga ke-3)

Antara indikator paling membimbangkan adalah peningkatan import makanan negara sebanyak 57% dalam tempoh 6 tahun: daripada RM50.17 bilion (2018) kepada RM78.79 bilion (2023). Jika trend ini berterusan, tidak mustahil jumlah import akan mencecah RM100 bilion dalam masa terdekat.

Kebergantungan tinggi kepada import bukan sahaja membebankan aliran tunai negara, malah berpotensi menjejaskan kestabilan harga dan bekalan makanan tempatan serta menyumbang kepada tekanan inflasi. Jelas, situasi ini tidak mampan untuk jangka panjang.

Dalam konteks makanan ruji pula, beras terus menjadi keutamaan. Purata penggunaan per kapita bagi beras adalah 79kg setahun, jauh lebih tinggi daripada ayam (49.3kg) dan telur (26.2kg). Malangnya, kadar sara diri (SSL) beras terus merosot — dari 73.2% (2015) kepada hanya 56.2% (2023).

Akibatnya, import beras melonjak 65%, dari 776,000 tan (RM1.50 bilion) pada 2018 kepada 1.28 juta tan (RM3.39 bilion) pada 2023. Ini berlaku seiring penyusutan kawasan penanaman padi — dari 700,000 hektar (2018) kepada 614,000 hektar (2023). Penyusutan paling ketara direkodkan di Sabah (-17%) dan Sarawak (-55%).

Hasilnya, pengeluaran padi menurun dari 2.64 juta tan (2018) kepada 2.18 juta tan (2023). Begitu juga pengeluaran beras, yang menyusut dari 1.70 juta tan kepada 1.50 juta tan dalam tempoh yang sama.

Maka, berdasarkan data empirikal yang dikemukakan dalam laporan DOSM ini, sukar untuk menafikan bahawa Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan (2021–2025) telah gagal mencapai matlamat utamanya.

Ketika import makanan melonjak dan kadar sara diri beras semakin merosot, persoalan yang wajar ditanya: di mana silapnya?

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga lelaki dicekup, polis Penampang rampas 78,500ml air ketum

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular