Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Tindakan seorang lelaki yang menyimpan dan mengedar air ketum dari rumahnya terbongkar selepas pihak polis berjaya menghidu kegiatan haram tersebut dalam satu serbuan di Taman Sri Semarak, di sini kelmarin.
Dalam operasi yang dijalankan pada jam 10.30 pagi, suspek berusia dalam lingkungan 30-an ditahan ketika sedang berehat di ruang tamu rumahnya oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemukan 21 botol plastik lutsinar berkapasiti 1.5 liter berisi cecair disyaki air ketum yang disembunyikan dalam dua buah peti sejuk berasingan di ruang dapur rumah tersebut.
“Jumlah keseluruhan cecair disyaki air ketum dianggarkan seberat 31.2 liter dengan nilai pasaran kira-kira RM350. Suspek mengaku merebus sendiri air ketum itu sebelum menjualnya kepada penagih tempatan pada harga RM20 sebotol,” katanya dalam satu kenyataan di sini. semalam.
Menurut beliau, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan awal mendapati dia negatif daripada pengaruh dadah.
Suspek kini ditahan bersama barang rampasan dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.