Oleh Sitti Nor Azizah Talata
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing berumur 62 tahun ditahan polis Lahad Datu selepas disyaki terlibat dalam kes amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di Perumahan Ladang Kunawai.
“Kejadian berlaku pada 10 Jun lalu kira-kira jam 8.00 pagi ketika mangsa berada di bahagian belakang rumahnya.
“Mangsa dilaporkan telah pengsan, dan sebaik sedar mendapati seorang lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di atas badannya sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan polis kemudiannya dibuat oleh ibu saudara mangsa, yang membawa kepada penahanan suspek yang dikenali oleh mangsa.
Beliau berkata, penahanan suspek dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Mangsa telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk pemeriksaan kesihatan dan perubatan lanjut.
Katanya. kes kini disiasat di bawah Seksyen 14(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.