Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen mengandungi butiran palsu.
Pegawai Perancang Bandar, Nazri Hamburg, 45, mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Jason Juga.
Mengikut kertas pertuduhan, Nazri telah memberikan kepada seorang Pembantu Tadbir (Kewangan) di Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Negeri Sabah, suatu dokumen iaitu Penyata Tuntutan Elaun-elaun Semasa Menjalankan Tugas Rasmi (Kecuali Elaun Hitungan KM) bertarikh 12 Jun 2017 dengan niat memperdayakan prinsipalnya.
Dokumen tersebut mengandungi butiran palsu iaitu Bil Tuntutan Syarikat Pengangkutan Putra bertarikh 12 Mei 2017 bagi pembayaran penghantaran dua buah kenderaan ke Papar dan tiga orang pekerja untuk memindahkan/mengangkat barangan berjumlah RM19,100, sedangkan perkhidmatan tersebut tidak pernah dilakukan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 Oktober 2017, bertempat di Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Negeri Sabah.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 10 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM5,000 serta seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan, termasuk arahan melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, serta larangan mengganggu saksi pendakwaan.
Tertuduh diwakili peguam Hannan Razaini, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi.