Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong yang membuat laporan polis berhubung dakwaan kegagalan projek pelaburan Esteel Enterprise di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) disifatkan sebagai pelik.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata laporan polis yang dibuat hari ini seolah-olah menggambarkan kerajaan berbohong mengenai projek pelaburan berimpak tinggi bernilai RM31 bilion itu, sedangkan ia telah pun dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 30 Mei lalu.
“Saya tidak tahu mengapa dia membuat laporan polis berkenaan projek itu. Jika dia ada sebarang pertanyaan, dia boleh datang kepada kami dan kami sedia menjawabnya. Kenyataan media pun tidak mengapa, tetapi buat laporan polis itu agak pelik,” katanya dalam sidang media di Wisma Kewangan, hari ini (13 Jun).
Beliau turut mengingatkan agar wakil rakyat tidak mencampuradukkan urusan pelaburan dengan permainan politik kerana ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur luar terhadap Sabah.
“Dalam politik, jangan libatkan pelabur. Saya tidak rasa mana-mana kerajaan mahu sabotaj pelaburan. Kita perlu berfokus untuk memastikan pelabur terus yakin dan selesa melabur di negeri ini,” katanya lagi.
Kerajaan negeri, katanya, komited menyediakan kemudahan terbaik kepada pelabur dan tidak akan terganggu oleh sebarang tindakan politik yang cuba menghalang usaha menarik pelaburan strategik ke Sabah.
Menurutnya, Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd adalah anak syarikat kepada Esteel Enterprise Pte Ltd. yang berpangkalan di Singapura, adalah sah dan mempunyai asas kukuh dari segi dokumen serta komitmen pelabur.
“Deposit telah dibayar, perjanjian telah ditandatangani. Kini pelabur hanya menunggu masa untuk memulakan proses mobilisasi di tapak. Ini perkara biasa dalam mana-mana projek pelaburan besar di Malaysia,” katanya.
Phoong menegaskan bahawa Kerajaan Negeri yakin dengan kemajuan projek tersebut dan berdasarkan maklumat terkini, syarikat berkenaan dijangka menggerakkan pembinaan antara Julai hingga Ogos ini.
“Saya ingin memberi penjelasan yang jelas kepada orang awam bahawa projek ini berjalan dengan baik. Tidak perlu pergi ke balai polis. Jika ada persoalan, boleh tanya semasa sidang DUN (Dewan Undangan Negeri),” katanya.
Sebagai makluman, DUN Sabah dijangka bersidang pada 7 dan 8 Julai ini.