Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kolej Komuniti diwujudkan sebagai platform untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan separa mahir bagi memenuhi keperluan industri setempat, termasuk dalam bidang teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sehubungan itu program yang ditawarkan mesti relevan dengan keperluan komuniti dan pasaran.
“ KPT kini dalam usaha menyediakan kursus-kursus baharu yang berasaskan AI dan teknologi kuantum, selaras dengan perubahan keperluan tenaga kerja masa depan.
“Sebagai contoh, UiTM telah pun memulakan langkah ke arah pendidikan AI, dan kini kita perluaskan lagi ke peringkat kolej komuniti. Ini akan memberi peluang yang lebih luas kepada anak-anak muda di luar bandar untuk melibatkan diri dalam bidang berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis penyampaian watikah pelantikan pengerusi-pengerusi Lembaga Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK), bermula di Sabah, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPT juga sedang memantau prestasi kolej-kolej komuniti seluruh negara dan tidak teragak-agak untuk menyemak semula operasi kolej yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan, bagi memastikan tidak berlaku pembaziran sumber.
Beliau turut menyentuh mengenai keperluan kemudahan tempat tinggal di beberapa kawasan seperti Sabah dan Sarawak yang dilihat perlu untuk memudahkan penuntut kolej komuniti.