Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM450,000 kepada sembilan buah kolej komuniti di Sabah bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, setiap kolej komuniti akan menerima RM50,000, yang akan diselia secara bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) masing-masing.
“Pelbagai program boleh kita wujudkan. Buatlah program kecil-kecilan yang relevan di kawasan masing-masing,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JPENKK Negeri Sabah yang diadakan di sini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh pegawai kanan Kementerian Pendidikan Tinggi, pengarah-pengarah kolej komuniti serta wakil masyarakat setempat.
Dr. Zambry turut menekankan bahawa pelantikan pengerusi JPENKK bukan sekadar satu simbolik, tetapi merupakan strategi penting dalam merapatkan hubungan antara kolej dan komuniti.
“Kita mahu pengerusi-pengerusi yang dilantik ini datang daripada komuniti setempat agar wujud interaksi lebih erat antara kolej, kementerian dan masyarakat,” ujarnya.
Sembilan kolej komuniti yang menerima peruntukan tersebut ialah
Kolej Komuniti Tawau, Kolej Komuniti Lahad Datu, Kolej Komuniti Semporna, Kolej Komuniti Sandakan, Kolej Komuniti Kota Marudu, Kolej Komuniti Penampang, Kolej Komuniti Beaufort, Kolej Komuniti Tambunan dan Kolej Komuniti Papar.
JPENKK yang diperkenalkan sejak tahun 2008, menurut Dr. Zambry, berfungsi sebagai jambatan penghubung antara kolej komuniti dan masyarakat setempat, serta memainkan peranan penting dalam menyokong program-program pembangunan kemahiran dan kerjasama dengan pihak industri dan perniagaan tempatan.
Beliau berharap agar pengerusi yang dilantik dapat memainkan peranan aktif dalam merancang program komuniti, memperkukuh jaringan industri, serta memastikan kolej komuniti terus relevan kepada keperluan tempatan.