Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Sabah terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia apabila berjaya mencatat jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM10.9 bilion bagi tempoh Januari hingga Mac 2025.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, jumlah itu melebihi keseluruhan pelaburan yang dicapai sepanjang tahun 2024, menurut laporan prestasi pelaburan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Dengan pencapaian ini, Sabah menduduki tempat ketiga tertinggi di peringkat nasional dari segi jumlah keseluruhan pelaburan, selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Daripada jumlah keseluruhan pelaburan tersebut, Pelaburan Langsung Asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama dengan nilai sebanyak RM6.6 bilion atau 61 peratus, manakala Pelaburan Domestik (DDI) berjumlah RM4.29 bilion atau 39 peratus,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Wisma Kewangan, hari ini.
Beliau turut menambah bahawa pencapaian ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap ekosistem pelaburan di Sabah, di samping sokongan kukuh daripada pelabur tempatan.
Jelasnya lagi, sektor pembuatan merupakan penyumbang tertinggi dengan nilai pelaburan sebanyak RM7.3 bilion. Pencapaian ini sekali gus meletakkan Sabah sebagai negeri tertinggi di Malaysia dalam menerima pelaburan sektor pembuatan bagi suku ini.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.59 bilion (91.3 peratus) merupakan pelaburan asing, manakala RM711 juta (9.7 peratus) adalah pelaburan domestik. Sektor perkhidmatan pula mencatat pelaburan berjumlah RM2.83 bilion, diikuti sektor utama sebanyak RM757.1 juta.
“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi pertumbuhan ekonomi dan ekosistem perniagaan yang kondusif di Sabah, hasil daripada dasar mesra pelabur serta komitmen teguh Kerajaan Negeri dalam merangsang pembangunan industri di negeri ini,” katanya.
Tambahnya, meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan geopolitik, Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan diyakini oleh pelabur asing mahupun domestik.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk terus memperkasa ekosistem pelaburan dan mengalu-alukan lebih banyak pelabur asing serta domestik dalam menjayakan aspirasi pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif untuk negeri ini,” katanya.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Thomas Logijin; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah (ISB), Dr Firdausi Suffian; Ketua Pegawai Eksekutif Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), Datuk Fredian Gan; Pengarah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sabah, Ariffin Hamzah; serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Cecilia Amid.