HomeUtamaPIBKS komited bantu atasi isu bekalan air di sekolah

PIBKS komited bantu atasi isu bekalan air di sekolah

Read Time:1 Minute, 28 Second

Kota Kinabalu :  Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.

Pengerusi PIBKS Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, ia termasuklah membantu membekalkan tangki air sebagai langkah mengatasi masalah air selain beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan kemudian.

Katanya, tekanan air rendah turut menjadi antara punca utama kerosakan peralatan termasuk pam air di sekolah terlibat khususnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan.

“Tekanan air yang rendah menyebabkan sistem pam air di sekolah rosak dan tidak tahan lama. Keadaan ini menyukarkan pihak sekolah terutama dalam menguruskan keperluan pelajar, khususnya pelajar pendidikan khas yang memerlukan bekalan air yang mencukupi.

“Memandangkan kawasan Kota Kinabalu menerima hujan yang tinggi, tadahan air hujan juga boleh dimanfaatkan sebagai alternatif. Ini antara inisiatif yang kita usahakan bagi membantu sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PIBG kali ke-50 SK Sembulan, di sini pada Sabtu.

Katanya, pihak sekolah turut berhubung dengan Jabatan Air Negeri Sabah, namun gangguan bekalan air yang berlaku secara tidak menentu turut menyumbang kepada kerosakan sistem dalaman sekolah.

“Apabila air ada, pam pula rosak. PIBG dan pihak sekolah tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk menampung kos pembaikan segera, dan perlu memohon sumbangan dari masa ke masa,” katanya.

Dalam pada itu, Arif turut menyeru ibu bapa dan pihak sekolah jadikan PIBKS dan PIBG sebagai platform kukuh untuk menjalin kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan dan kebajikan pelajar.

“Saya berharap ibu bapa dapat melihat PIBG ini bukan hanya sebagai satu persatuan, tetapi satu landasan penting untuk memperkukuh hubungan dengan pihak sekolah. 

“Dengan kerjasama yang berterusan, pelbagai program dapat dilaksanakan demi kemajuan anak-anak kita,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular