Inanam: Golongan muda khususnya wanita masa kini tidak sekadar menjadi pengikut, malah telah muncul sebagai pemimpin dan penggerak utama dalam pembangunan komuniti dan politik.
Ketua Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Inanam, Belsheera Elison berkata, pihaknya berharap agar lebih ramai wanita muda tampil aktif membentuk masa depan negeri Sabah, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang bakal berlangsung tahun ini.
“Wanita muda hari ini telah membuktikan kemampuan mereka untuk memimpin dan menjadi suara penting dalam pentas politik. Beliawanis bukan sekadar sayap parti, kita adalah nadi perjuangan akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Persidangan Tahunan Pergerakan Beliawanis Bahagian Inanam di Dewan Masyarakat Menggatal, di sini pada Ahad.
Belsheera yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Beliawanis Pusat berkata, data menunjukkan kekuatan anak muda di Inanam dengan lebih 25,000 pengundi berusia 18 hingga 40 tahun termasuk lebih 12,000 pengundi wanita muda.
“Ini bukan angka kecil, ini adalah kekuatan yang boleh mengubah landskap politik Inanam jika kita benar-benar sedar nilai undi kita,” ujarnya sambil menyeru anak muda untuk turun mengundi dan tidak bersikap pasif dalam menentukan hala tuju negeri.
Menjawab sentimen lazim anak muda yang sering menyatakan tidak berminat dengan politik, Belsheera menegaskan bahawa sikap tidak peduli hanya akan merugikan diri sendiri.
“Politik bukan hanya tentang pemimpin dan kerusi, tetapi ia menentukan pendidikan, pekerjaan, harga barang dan masa depan kita,” katanya.
Beliau turut mengajak anak muda agar celik politik dan bijak menilai fakta terutama di media sosial.