Oleh Normimie Diun
PUTATAN: Seramai 27 keluarga kehilangan tempat tinggal selepas dua kejadian kebakaran berasingan berlaku dalam tempoh kurang 10 jam di daerah ini.
Kebakaran pertama berlaku di Kampung Petagas sekitar jam 4 petang semalam, membabitkan 13 buah rumah, sembilan daripadanya musnah sepenuhnya, satu terbakar 20 peratus dan tiga lagi mengalami kerosakan sekitar 10 peratus. Enam buah kenderaan turut musnah dalam kejadian itu.
Beberapa jam kemudian, satu lagi kebakaran dilaporkan berlaku sekitar jam 1 pagi di Jalan Bukit Vor, yang mengakibatkan dua buah rumah musnah keseluruhan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, susulan kejadian tersebut, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Seri Putatan telah diaktifkan bagi menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas.
“Pada awalnya, PPS ini dibuka untuk 19 ketua isi rumah dari Kampung Petagas. Namun, selepas kebakaran kedua di Bukit Vor, lapan ketua isi rumah lagi dipindahkan ke pusat sama, menjadikan jumlah keseluruhan 27 keluarga terjejas,” katanya pada sidang media ketika melawat mangsa di pusat pemindahan pagi tadi.
Beliau memaklumkan semua mangsa keluar sehelai sepinggang dan telah menerima bantuan kewangan awal untuk membeli keperluan asas.
Tambah beliau, operasi PPS biasanya berlangsung selama tiga hari, namun boleh dilanjutkan berdasarkan keadaan serta perbincangan bersama mangsa.
“Bantuan jangka panjang seperti pembinaan semula rumah sedang diteliti dan permohonan akan dikemukakan kepada kerajaan negeri,” ujarnya.

Sabah Media sempat menemui salah seorang mangsa, Mohamad Khairul Albi, 45, yang bekerja sebagai juruteknik komputer, berkata beliau menyedari kebakaran selepas melihat asap tebal dari rumah bersebelahan ketika sedang makan.
“Saya terus arahkan isteri dan anak-anak keluar menyelamatkan diri. Isteri hanya sempat ambil dokumen penting, saya pula sempat keluarkan kereta,” katanya.
Lebih memilukan, katanya, semua komputer pelanggan yang sedang dibaiki di rumah turut musnah dalam kebakaran itu.
“Saya bekerja sendiri sebagai juruteknik membaiki komputer dari rumah. Ketika kejadian, ada beberapa unit komputer pelanggan yang belum siap. Semuanya hangus dalam kebakaran,” katanya dengan nada kecewa.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Wan Roziah Wan Yahya, 49, berkata beliau terlihat asap ketika keluar mengambil pakaian di ampaian.
“Saya nampak asap hitam dari rumah selang satu dari rumah saya. Terus saya jerit ‘kebakaran’ dan mengarahkan adik saya membawa emak yang tinggal di rumah sebelah keluar menyelamatkan diri. Masa tu saya baru bangun tidur mahu mengambil pakaian di ampaian sebab cuaca macam mendung, suami pula tiada sebab bekerja, anak dua orang keluar ke rumah kawan,” katanya.
Wan Roziah berkata hanya beberapa dokumen penting seperti surat beranak dan motosikal sempat diselamatkan. Kad pengenalan, telefon bimbit dan kad bank semuanya musnah dalam kebakaran.
“Kami tinggal di rumah itu sejak kecil lagi. Banyak kenangan. Bila bercerita pun rasa sebak… tak mampu tahan air mata,” katanya sayu.
Kini, Wan Roziah dan keluarga bercadang menumpang sementara di rumah keluarga suami sambil menanti proses membina semula kediaman yang musnah.