Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang pengarah syarikat didenda RM6,000 atau dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda, atas dua pertuduhan berkaitan kabel elektrik.
Chaw Chen Sin, 49, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin terhadap pertuduhan tersebut di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah mengenakan denda RM2,500 atau penjara enam bulan kerana menyimpan kelengkapan elektrik yang tidak dilabelkan menurut Peraturan 98 Peraturan-Peraturan Elektrik 1994, iaitu 42 unit kabel PVC berpenebat pelbagai jenama dan model, dengan niat untuk menjualnya.
Kesalahan itu dilakukan pada 31 Oktober 2019, kira-kira jam 4.30 petang, di Ideal Supply (KK) Sdn Bhd, Jalan Tuaran, Inanam.
Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 109A(2)(b), Peraturan-Peraturan Elektrik 1994, dan boleh dihukum di bawah Peraturan 122 peraturan yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didenda RM3,500 atau penjara enam bulan kerana mempamerkan 139 unit kabel PVC berpenebat pelbagai jenama dan model, yang merupakan kelengkapan voltan rendah yang biasanya dijual secara langsung kepada orang awam, tanpa Perakuan Kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga, di tempat dan waktu yang sama.
Tertuduh telah melanggar perenggan 97(1)(b) Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 yang merupakan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah peraturan 122 Peraturan-Peraturan yang sama. Jika sabit kesalahan, hukuman yang boleh dijatuhkan lalah denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, hasil pemeriksaan yang dijalankan di rak-rak jualan premis persebut menemui 182 gulung kabel elektrik domestik pelbagai jenama dan saiz yang dipamerkan untuk tujuan jualan kepada pelanggan.
Pegawai serbuan membuat analisis awal dan mendapati semua kabel tersebut tidak mempunyai Perakuan Kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga dan tidak dilabelkan menurut Peraturan 98 Peraturan-Peraturan Elektrik 1994. Pihak serbuan kemudiannya bertindak merampas kesemua kabel elektrik tersebut.
Mengikut Peraturan 97(1)(b), Peraturan-Peraturan Elektrik 1994, tertakluk kepada Peraturan 97C, 97D, 97E dan 101A, tiada seorang pun boleh mengilang, mengimport, mempamerkan, menjual atau mengiklan apa-apa kelengkapan voltan rendah yang biasanya dijual secara langsung kepada orang awam kecuali kelengkapan itu diluluskan oleh Suruhanjaya.
Sementara itu, mengikut Peraturan 98 Peraturan-Peraturan Elektrik 1994, mana-mana kelengkapan yang telah mendapat Perakuan Kelulusan boleh dikehendaki oleh Suruhanjaya Tenaga untuk satu penandaan atau pelabelan dilakukan mengikut cara yang ditetapkan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafez Abu Hassan.