KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam dan seorang pesara sebuah Jabatan Kerajaan Negeri ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung rasuah berjumlah RM66, 000 melibatkan isu tanah.
Kedua-dua suspek dipercayai menerima suapan masing-masing kira-kira RM54,000 dan RM12,000 daripada beberapa individu, bagi tujuan memproses permohonan tanah serta menjalankan bancian lot tanah di bawah skim milik kerajaan negeri.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan sekitar tahun 2016, walaupun kedua-dua suspek tidak mempunyai kelayakan untuk memproses permohonan, dan tidak memiliki sebarang lot tanah untuk tujuan bancian.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60-an itu telah ditahan kira-kira antara jam 10 hingga 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, yang mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, kedua-dua suspek akan didakwa dalam masa terdekat.