Kota Kinabalu : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang orang awam akan didakwa berkaitan siasatan ‘Op Adun’.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketiga-tiga individu tersebut sedang melalui proses terakhir sebelum didakwa, termasuk rakaman percakapan di bawah ‘caution statement’.
Katanya, individu terlibat akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu dalam masa terdekat.
Menurutnya, ketiga-tiga individu itu hanya akan dimaklumkan selepas tarikh pendengaran ditetapkan oleh pihak mahkamah.
“Ya, kes ADUN ini saya ingin menyatakan bahawa ada dua suspek daripada pihak ADUN dan seorang awam dalam proses untuk kita menjalankan tangkapan dan memberitahu mereka tarikh mereka kena hadir ke mahkamah.
“Saya tidak boleh dedahkan tarikhnya buat masa ini kerana ia bergantung kepada tarikh mahkamah yang sedang kami usahakan. Tetapi saya beri jaminan, mereka akan didakwa dalam bulan ini, berkemungkinan pada hujung bulan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas mengenai kesahihan video yang tular berkaitan kes ini, Azam enggan mengulas lanjut kerana perkara itu boleh menjadi subjudis jika dibincangkan secara terbuka.
“Itu saya tidak boleh bincangkan. Kita tidak bergantung sepenuhnya kepada bukti video. Kita juga perlukan keterangan daripada saksi-saksi. Mesin boleh beri maklumat, tetapi manusia perlu sahkan kandungannya,” katanya.
Op Adun menyiasat pembabitan beberapa ADUN Sabah dalam isu pemberian lesen perlombongan.
Pihak berkuasa memulakan siasatan selepas satu siri video yang telah disunting diterbitkan oleh portal berita Malaysiakini pada November tahun lalu.
Azam berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan International Conference on Technology, Management and Sustainability di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ditanya sama ada lebih ramai akan didakwa, Azam berkata perkara itu akan diputuskan oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya.