HomeIsu tempatanProgram pembersihan pantai semarak kesedaran alam sekitar

Program pembersihan pantai semarak kesedaran alam sekitar

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak 60 beg sampah seberat 402 kilogram sampah berjaya dikutip pada program pembersihan pantai yang berlangsung di Taman Awam di sini baru-baru ini.

Program anjuran Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu adalah bagi memupuk kesedaran alam sekitar dan pengurusan pesisir pantai secara mampan.

Penganjuran program itu turut mendapat kerjasama dari Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kedutaan Perancis di Malaysia serta lapan buah sekolah menengah di seluruh Sabah.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura (Sandakan), SMK Tandek (Kota Marudu), SMK Sanzac (Kota Kinabalu), SM St. Michael (Penampang), SM Sains Sabah, SMK Pinawantai (Kudat), SMK Labuan dan SMK Tebobon.

Seramai lebih 150 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan UMS, pegawai-pegawai dari NRES, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Meteorologi serta wakil dari Kedutaan Perancis hadir pada program berkenaan.

 Antara bahan buangan yang dikutip termasuklah sisa plastik, jaring ikan dan bahan tidak mudah reput lain.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) NRES, Datuk Nor Yahati Awang, menekankan kepentingan tindakan secara kolektif.

“Pantai kita adalah ekosistem dan warisan yang penting. Kami menghargai sokongan daripada UMS, sekolah-sekolah tempatan dan Kedutaan Perancis yang menunjukkan keprihatinan global terhadap kesihatan lautan,” katanya.

Dominique Husken-Ulbrich, wakil dari Kedutaan Perancis, turut mengiktiraf komitmen masyarakat setempat.

“Perancis kekal komited dalam menyokong inisiatif global dan tempatan yang selari dengan Perjanjian Paris dan Matlamat Pembangunan Mampan. 

“Program pembersihan hari ini membuktikan kesan positif kerjasama antara institusi pendidikan dan rakan diplomatik,” katanya.

Ketua Program Sains Marin UMS, Dr. Madihah Jaffar Sidek turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas dedikasi mereka terhadap pemuliharaan marin.

Beliau menyatakan bahawa program ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang lebih besar untuk memupuk nilai pemeliharaan alam sekitar serta melibatkan belia dalam usaha pemuliharaan di seluruh Sabah.

Program pembersihan pantai ini merupakan antara aktiviti tahunan BMRI UMS sempena Sambutan Lautan, bersempena dengan Hari Lautan Sedunia, Hari Segitiga Terumbu Karang dan Hari Penyu Laut Sedunia.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Mahasiswa UMS terapkan inovasi dan kelestarian alam dengan pelajar sekolah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular