Kota Kinabalu : Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tidak mahu dianggap dan tidak pernah berniat untuk bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam Gabungan Rakyat Sabah.
Malah Setiausaha Agung Gagasan Rakyat Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi berkata, Gagasan Rakyat sebaliknya mengamalkan pendekatan inklusif dan saling menghormati antara komponen dalam gabungan parti itu.
Katanya, kerjasama erat dan kestabilan antara parti-parti dalam GRS adalah kunci kepada kemajuan negeri Sabah, bukan dominasi satu pihak ke atas yang lain.

“Kita tidak letakkan kepentingan peribadi di depan kerana budaya Gagasan Rakyat bukan mahu menjadi ‘abang besar’ tetapi kita mahu semua komponen GRS bergerak bersama secara saling hormat dan sepakat. Kita belajar daripada kesilapan lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perasmian Persidangan Gagasan Rakyat Darau yang dirasmikan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.
Mengulas usul yang dibawa oleh sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Darau yang mencadangkan beliau sebagai calon GRS untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Razali menerima saranan itu dengan terbuka, namun menegaskan bahawa kehendak rakyat adalah keutamaan.
“Saya hargai aspirasi akar umbi. Tapi akhirnya, kita perlu turun ke bawah dan lihat sendiri sama ada rakyat mahukan kita, itu ukuran sebenar,” katanya.
Razali yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, turut menyatakan bahawa beliau bersedia menerima keputusan jika Gagasan Rakyat tidak dipilih sebagai calon di kawasan itu, asalkan keputusan itu dibuat secara konsensus dan demi kestabilan politik Sabah.
“Saya akan terima dengan hati terbuka jika presiden parti memutuskan calon bukan dari kita , yang saya mahu, presiden kita kekal sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Setiausaha Eksekutif GRS, turut menyuarakan sokongan penuh terhadap kenyataan Armizan berkenaan keperluan rundingan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan harus dijalankan secara terus dan tidak lagi dikuasai oleh keputusan parti pusat.
“Kita pernah alami dahulu dimana segala keputusan perlu rujuk ke Kuala Lumpur dan wakil Sabah tiada kebebasan. Sekarang sudah tiba masa kita bergerak secara berdikari dan matang dalam menentukan hala tuju negeri,” katanya.
Menyentuh kritikan terhadap dasar Sabah Maju Jaya (SMJ), Razali mempertahankan hala tuju berkenaan sebagai pelan pembangunan yang jelas, tersusun dan bertulis, tidak seperti kerajaan terdahulu yang menurutnya hanya bergantung kepada retorik.
“SMJ bukan sembang kosong di kedai kopi. Ia satu dokumen rasmi pembangunan negeri. Kita bukan ahli silap mata, masalah 30 tahun tidak boleh selesai dalam tiga tahun, ia perlukan masa dan kestabilan,” katanya.
Razali turut melontarkan kritik terhadap budaya politik perpecahan yang berterusan di Sabah dengan menyifatkan kegagalan perpaduan sebagai punca utama kelemahan politik negeri. – SABAH MEDIA