Kota Kinabalu : Penganjuran Webinar Kesejahteraan Psikologi dan Spiritual Serantau mampu menggalas tanggungjawab sosial selari dengan pendekatan kerajaan semasa.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin berkata, isu kesejahteraan psikologi dan spiritual bukanlah isu terpencil bahkan perlu diberi perhatian dalam kerangka membentuk masyarakat sejahtera.
Katanya, penganjuran program itu juga mampu diteliti keberkesanannya melalui rasionalisasi dan tujuan asal pembentukan webinar.

Menurutnya, penganjuran webinar menitikberatkan pertumbuhan komuniti yang sejahtera, iaitu melalui kesihatan psikologi dan spiritual.
“Individu yang merupakan tulang belakang pembinaan komuniti tidak mampu mencapai kesejahteraan psikologi tanpa kewujudan peranan psikologi dan spiritual yang sejahtera dalam diri.
“Meneliti aspek pembinaan komuniti yang sejahtera, barisan kaunselor profesional menetapkan bahawa tahap kesihatan mental, kewarasan cara berfikir, tingkahlaku dan emosi amat penting dalam mengukur kesejahteraan individu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Webinar Kesejahteraan Psikologi Dan Spiritual Serantau Tahun 2025
Institut Pengajian Islam Dan Dakwah Sabah.
Sementara itu, Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, Kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) telah menyempurnakan beberapa siri program yang mengetengahkan kesejahteraan psikologi dan spiritual melalui pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat – Sabah Maju Jaya (ANMS SMJ) peringkat Negeri Sabah.

Kayanya, ANMS merupakan agenda negara yang meletakkan fokus kepada budaya gaya hidup sihat melalui pemerkasaan rakyat dalam meningkatkan kesihatan kendiri, manakala ANMS SMJ merupakan pendekatan selari kerajaan negeri yang meletakkan penumpuan ke arah mencapai kesejahteraan kesihatan fizikal dan psikologi bagi rakyat Sabah.
“Oleh itu, ANMS di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 merupakan gagasan Kerajaan Negeri Sabah berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu S – Sektor utama fokus pertumbuhan ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan; M – Modal insan dan kesejahteraan rakyat, serta J – Jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
“Dalam meneliti gerak kerja yang telah dibangunkan melalui pembawaan agenda ANMS – SMJ, kerajaan negeri memfokuskan kepada tiga bidang tumpuan iaitu kesihatan fizikal dan mental, pencegahan dan pemulihan dadah serta pembangunan spiritual dan sosial.
“Ketiga-tiga bidang tumpuan ini telah melaksanakan beberapa siri program yang berkaitan antaranya Jelajah ANMS – SMJ (2022), Madani Afiat (2024), Inisiatif Pembangunan Modal Insan, serta Biasiswa Yayasan Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA