HomeUtamaIsu jalan, elektrik tanggungjawab persekutuan - Masidi

Isu jalan, elektrik tanggungjawab persekutuan – Masidi

Read Time:2 Minute, 5 Second

Putatan: Sebahagian besar isu melibatkan jalan raya rosak dan bekalan elektrik yang sering terputus di negeri ini adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan tindakan menyalahkan Kerajaan negeri semata-mata disifatkan sebagai tidak kena pada tempatnya.

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pihak lawan yang sering menghentam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas isu yang dihadapi dilihat gagal untuk menyemak fakta dengan betul.

Katanya, kebanyakkan jalan yang rosak di negeri ini membabitkan jalan raya berstatus Jalan Persekutuan yang yang terletak dalam bidang kuasa kerajaan Pusat.

Manakala bagi isu bekalan elektrik, Masidi berkata, ia merupakan tanggungjawab di bawah Tenaga Nasional Berhad (TNB), iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Persekutuan yang menjadi pemilik Sabah Electricity.

“Apabila ada dari sebelah (pembangkang) hentam masalah jalan raya, mereka sebenarnya hentam kerajaan Persekutuan sedangkan mereka juga sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

“Begitu juga masalah elektrik, apabila putus bekalan, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor disalahkan, sedangkan faktanya penjana elektrik di Sabah ialah Sabah Electricity dan ia adalah milik TNB, sebuah syarikat kerajaan Persekutuan.

“Walaupun kerajaan Sabah ada pegangan dalam Sabah Electricity, tapi cuma 18 peratus. Jadi, kita kena faham ini dan bukan bermakna kita lepas tangan, kita bantu tetapi fakta biarlah betul,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam ucapan perasmian Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Petagas, Mohd Isquzawan Israq Arsit.

Masidi yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat berkata, kerajaan negeri juga tidak lepas tangan dalam menyelesaikan isu kerosakan jalan raya, namun proses menyelesaikan masalah itu tidak dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat.

Selain dua isu itu, beliau turut mengulas masalah bekalan air yang juga dijadikan bahan pihak lawan untuk menghentam kerajaan pimpinan GRS.

Namun, katanya masalah sebenar isu air di negeri ini bermula dengan tindakan kerajaan negeri sebelum ini menerusi langkah drastik yang diambil kepemimpinan kerajaan ketika itu.

“Masalah air dari kerajaan dulu, mereka tamatkan konsesi kononnya untuk jimatkan wang, tapi bukan dapat jimat, sebaliknya kos air meningkat dan hilang pakar dari syarikat konsesi, itu yang kita hadapi sekarang.

“Apabila ditamatkan konsesi, kita terpaksa bayar pampasan dan kita bayar RM300 juta kepada syarikat konsesi air kerana tamatkan konsesi mereka.

“Dua kali kita rugi, iaitu hilang kepakaran urus air syarikat konsesi dan kita terpaksa bayar ganti rugi kerana tamatkan kontrak syarikat konsesi sebelum matang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri tidak berdiam diri seperti dituduh pihak lawan dalam menyelesaikan masalah air, sebaliknya berusaha melaksanakannya sejak dua setengah tahun yang lalu.

Tempoh itu, katanya terlalu singkat untuk menyelesaikan semua usaha yang dilaksanakan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular