Oleh: Wan Azrain Adnan
Sektor pertanian yang suatu ketika dahulu menjadi tunjang utama ekonomi Malaysia kini terus menyusut sumbangannya. Berdasarkan laporan interim terkini Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bukan sahaja sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kian mengecil, malah peranannya dalam pembangunan negara juga semakin terkebelakang.
Banci ini meliputi aktiviti tanaman, ternakan, perikanan, serta perhutanan dan pembalakan yang memberi gambaran jelas tentang arah aliran menurun yang membimbangkan dalam tempoh lebih lima dekad lalu.

Sumbangan Semakin Mengecil: Dari 28.8% kepada 6.4%
Banci Pertanian 2024 — yang dijalankan antara Julai hingga Oktober 2024 — adalah banci keempat sejak 1963. Laporannya menunjukkan sumbangan sektor pertanian kepada KDNK negara merosot daripada 28.8% pada tahun 1970 kepada hanya 6.4% pada tahun 2023.
Sebagai perbandingan, negara-negara jiran dan ekonomi besar lain mencatatkan peratusan lebih tinggi, antaranya India (16.6%), Indonesia (12.5%), Vietnam (11.9%) dan China (7.1%). Sementara itu, negara maju seperti Perancis, Itali dan Jerman masing-masing mencatatkan kurang daripada 2%, namun mereka mempunyai tahap sara diri makanan yang jauh lebih tinggi.
Peralihan dasar kerajaan ke arah sektor ekonomi bernilai tinggi seperti semikonduktor, ekonomi digital dan tenaga boleh baharu menjadi faktor utama penyusutan peranan sektor primer. Ini dapat dilihat dalam aliran pelaburan: menurut MIDA, daripada jumlah pelaburan RM89.8 bilion bagi suku pertama 2025, sebanyak RM88.3 bilion ( 98%) disalurkan kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan. Sektor primer yang meliputi pertanian, perlombongan dan perhutanan hanya menerima RM1.5 bilion.

Sinar di Sebalik Cabaran: Industri Ayam Semakin Pulih
Laporan banci turut menunjukkan industri ayam negara mencatat nilai eksport memberangsangkan, iaitu RM1.4 bilion — merangkumi eksport produk ayam dan telur ayam/itik. Ini menunjukkan pemulihan ketara selepas kerajaan melaksanakan subsidi besar-besaran bagi menstabilkan harga semasa krisis bekalan.
Sejak pengapungan harga ayam bermula 1 November 2023, harga kekal stabil tanpa lonjakan drastik, membuktikan industri ini kini lebih mampan dan berdaya saing di peringkat serantau.
Namun di sebalik perkembangan positif industri ayam, Malaysia masih bergelut dengan kebergantungan tinggi terhadap import makanan asas. Antara import pertanian tertinggi ialah:
- Minyak masak: RM6.2 bilion (338.5 juta tan)
- Produk tenusu: RM4.9 bilion (0.3 juta tan)
- Beras: RM3.7 bilion (1.4 juta tan)
- Kopi: RM1.3 bilion
- Bawang: RM1.0 bilion
Paling membimbangkan ialah import beras. Walaupun pelbagai dasar dan dana telah disalurkan, kadar sara diri (SSR) beras merosot daripada 73.2% (2015) kepada 56.2% (2023). Ini bermakna hampir separuh keperluan beras negara bergantung kepada bekalan luar — satu situasi yang membahayakan keterjaminan makanan negara.

Sumbangan Mengikut Negeri: Sabah dan Johor Antara Peneraju
Daripada segi sumbangan mengikut negeri, Johor mencatat peratusan tertinggi (17.1%) diikuti Sarawak (14.9%), Pahang (14.1%), Sabah (12.5%) dan Perak (11.6%). Kelima-lima negeri ini secara kolektif menyumbang 70.2% kepada keseluruhan sektor pertanian negara.
Sabah khususnya menunjukkan prestasi perdagangan pertanian yang kukuh — dengan eksport mencecah RM31.1 bilion dan import hanya RM10.4 bilion pada tahun 2023. Namun, import utama seperti beras (RM613 juta) dan jagung (RM351.9 juta) membayangkan agenda keterjaminan makanan negeri itu masih belum stabil.
Realiti sumbangan sektor pertanian yang kecil ini menimbulkan persepsi seolah-olah sektor tersebut dipinggirkan dalam perancangan negara. Dalam konteks di mana negara masih bergantung kepada import makanan ruji, termasuk beras, keperluan untuk mereformasikan Sektor pertanian negara dan di bina secara tahan lasak masa depan atau future-proof bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara. Idea, model dan struktur baru, sesuai dengan keperluan serta cabaran masakini dan masa depan.