HomeUtamaYayasan Pengguna mahu penjelasan Menteri Pengangkutan isu rakaman pemandu bahaya

Yayasan Pengguna mahu penjelasan Menteri Pengangkutan isu rakaman pemandu bahaya

Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menyambut baik kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang menggalakkan orang ramai merakam dan melaporkan tingkah laku pemandu lori dan bas yang memandu secara berbahaya.

Namun begitu, langkah tersebut turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya yang mempersoalkan bagaimana mereka boleh membuat rakaman terhadap pemandu kenderaan berat tanpa melanggar undang-undang, khususnya berkaitan larangan penggunaan telefon bimbit ketika memandu.

Menurut Pengerusi YPNM Sabah, David Chan, pengguna jalan raya bimbang tindakan merakam menggunakan telefon semasa memandu akan dianggap sebagai satu kesalahan oleh pihak berkuasa, memandangkan ia boleh mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata, percubaan untuk mengambil gambar atau merakam video ketika sedang memandu juga berisiko tinggi mengakibatkan kemalangan, terutama di lebuh raya atau jalan yang sempit dan sibuk.

Sehubungan itu, pihaknya memohon agar Kementerian Pengangkutan mengeluarkan satu garis panduan rasmi yang jelas berhubung kaedah dan waktu orang awam dibenarkan untuk merakam tingkah laku pemandu bas atau lori yang memandu secara melulu tanpa melanggar undang-undang sedia ada.

David turut mencadangkan supaya penggunaan kamera papan pemuka (dashcam) atau rakaman oleh penumpang dijadikan pilihan yang lebih sesuai dan sah dari segi undang-undang, serta rakaman tersebut diiktiraf oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai bukti yang sah untuk tindakan penguatkuasaan.

Beliau juga menyarankan agar kementerian melaksanakan satu kempen kesedaran nasional bagi menggalakkan pemasangan kamera papan pemuka dalam kenderaan, selain menyediakan saluran pelaporan khas menerusi aplikasi mudah alih atau laman web rasmi kerajaan.

“Kami menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk memperkasakan pengguna dalam melaporkan salah laku jalan raya, namun ia perlu dilakukan secara selamat dan mengikut lunas undang-undang agar tidak memberi kesan negatif kepada pelapor,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambah beliau, keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama, dan orang awam yang tampil membantu penguatkuasaan perlu diberikan perlindungan sewajarnya, bukannya dikenakan hukuman atas tindakan mereka yang berlandaskan niat murni.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular