HomeUtamaJangan buat kesimpulan berdasarkan persepsi – Armizan

Jangan buat kesimpulan berdasarkan persepsi – Armizan

Read Time:2 Minute, 24 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, mengingatkan semua pihak agar tidak membuat kesimpulan awal berhubung kes rasuah yang dibawa ke mahkamah, khususnya melibatkan individu yang sebelum ini membuat pengakuan terbuka di media.

“Amat menarik, individu yang sebelum ini mendakwa secara terbuka bahawa beliau memberi imbuhan berbentuk rasuah kepada ramai ADUN, kini tidak mengaku bersalah ketika pertuduhan disebut di mahkamah. Tidak mengaku bersalah di mahkamah, adakah bermaksud beliau tidak memberi rasuah?” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Flag Off Program Kembara ReDI Peringkat Zon Sabah dan Pelancaran Mural Redi Pertama Di Borneo di Pekan Papar pada Selasa.

Armizan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Mustapha Sakmud semalam yang terkejut dengan laporan mengenai sebuah video yang belum didedahkan yang didakwa membabitkan pemimpin GRS dan Mustapha percaya perkembangan itu berpotensi mengubah landskap politik negeri ini.

Menurut Armizan, sejak awal isu berbangkit, GRS mengambil pendirian untuk menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang, sebagaimana diperjelaskan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

“Saya tidak meminta mana-mana pihak berlaku adil kepada GRS, tetapi jangan pula kita memilih untuk memejam sebelah mata dan tidak melihat realiti di depan kita,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa tuduhan rasuah tidak seharusnya dijadikan alat serangan politik secara terpilih kerana banyak pemimpin daripada pelbagai parti turut terlibat dengan tuduhan serupa, sama ada dalam pembangkang mahupun dalam kalangan parti-parti kerajaan perpaduan.

“Ada yang sudah dibicarakan dan dibebaskan, ada yang dijatuhi hukuman, ada yang diberi DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan), dan ada yang kesnya masih tertangguh bertahun-tahun. Jejak aliran wang rasuah pula ada yang masuk akaun sendiri, isteri, syarikat proksi atau dalam bentuk manfaat lain,” katanya.

Armizan menegaskan bahawa pemimpin GRS tidak pernah membuat komen terbuka mengenai kes-kes rasuah yang melibatkan pemimpin parti lain, sebaliknya memilih untuk menghormati proses undang-undang.

“Kita percaya kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya. Maka, elakkan membuat penilaian bersandarkan persepsi, sentimen mahupun laporan media sebelah pihak,” tegasnya.

Armizan turut menyeru agar semua pihak membiarkan sistem perundangan negara menjalankan tugasnya tanpa tekanan atau prejudis.

“Kalau ditanya apa pandangan saya, saya serahkan sepenuhnya kepada beliau (Mustapha) untuk menilai sendiri.

“Saya tidak berhajat untuk memaksa beliau berlaku adil terhadap kita. Saya juga tidak ada hak untuk memaksa beliau mempercayai kita. Kalau beliau ada pertimbangan lain, itu hak beliau dan saya tidak berminat untuk mengulas lebih lanjut,” katanya lagi.

Armizan turut mengingatkan supaya semua pihak berlaku adil dan tidak menuding kesalahan kepada satu pihak sahaja.

“Biar kita tunggu proses undang-undang berjalan. Selama hampir tujuh hingga lapan bulan, parti kami telah dilabel dengan pelbagai tohmahan dan hinaan. Tapi semalam, saya lihat satu perkara yang wajar kita fikirkan bersama adakah bukan rasuah jika seseorang yang sebelum ini secara terbuka mengaku memberi rasuah, kini tidak mengaku bersalah di mahkamah? Jadi, masing-masing boleh menilai dan faham sendiri,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular