Kota Kinabalu : Program Rebat Madani (PRM) yang dilaksanakan Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dilanjutkan bagi tempoh tiga bulan sehingga 30 September depan selepas mendapat sambutan menggalakkan dari peminjam pengajian KYS.
Menerusi program itu, peminjam yang ingin melunaskan pinjaman sepenuhnya layak mendapat rebat khas sebanyak 30 peratus ke atas baki pinjaman mereka dan ia mampu meringankan beban peminjam.
Inisiatif KYS itu bukan saha untuk mengalakkan lebih ramai peminjam menunaikan tanggungjawab mereka tapi juga bagi mempercepatkan pusingan dana bagi pelajar-pelajar yang bakal melanjutkan pengajian mereka di peringkat universiti.

Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, sejumlah RM232,817 rebat telah dinikmati oleh sejumlah 96 orang peminjam yang telah membayar sekaligus sejak program itu diperkenalkan pada 1 April lalu.
Katanya, KYS turut berjaya mengutip sebanyak RM651,680 pembayaran sekaligus daripada peminjam yang menyambut tawaran rebat berkenaan.
“Pemberian rebat ini adalah manifestasi keprihatinan Pengurusan KYS kepada kumpulan sasar bagi meringankan komitmen mereka membayar balik pinjaman pengajian sejajar dengan fungsinya menokok tambah usaha kerajaan dalam pembangunan pendidikan.
“Para peminjam pengajian KYS yang berkemampuan untuk menyertai program ini diseru untuk mengambil peluang ini bagi menikmati jumlah rebat tinggi sebanyak 30 peratus.
“Bagi menarik lebih ramai peminjam pengajian KYS untuk menyertai tawaran rebat 30 peratus melalui pembayaran sekaligus ini, Kumpulan Yayasan Sabah juga menawarkan hadiah-hadiah menarik yang berpeluang dimenangi oleh mereka melalui cabutan bertuah.
“Antara hadiah cabutan bertuah yang ditawarkan kepada peminjam yang membayar sekaligus termasuk pakej penginapan tiga hari dua malam di Borneo Rainforest Lodge, Lahad Datu untuk dua orang yang bernilai lebih RM8,000 serta lebih 20 hadiah menarik yang lain tajaan anak-anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya.
Sementara itu, Gulamhaidar berkata, para peminjam pengajian KYS yang belum memulakan pembayaran balik pinjaman pengajian atau telah berhenti membayar ansuran pinjaman namun mempunyai tunggakkan pembayaran, disarankan untuk menunaikan tanggungjawab mereka seperti yang termaktub dalam perjanjian pinjaman pengajian.
Katanya, pematuhan kepada pembayaran balik pinjaman pengajian akan menyumbang kepada kelestarian dana pusingan tajaan pendidikan KYS di mana bilangan yang memohon tajaan pada tahun-tahun mendatang dijangka meningkat dengan signifikan.
“Para peminjam pengajian yang sebelum ini menikmati tajaan seharusnya tidak leka dengan tanggungjawab mereka melunaskan pembayaran balik pinjaman mereka bagi memberi peluang kepada generasi baru melanjutkan pendidikan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KYS turut menambahbnaik Portal Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian yang sebelum ini telah dilancarkan pada bulan Mac 2025 sebagai platform untuk memudahkan peminjam membuat pembayaran balik dan mendapatkan maklumat berkaitan akaun pinjaman pengajian mereka.
“Penambahbaikan yang akan bermula Ogos 2025 ini membolehkan para peminjam pengajian Kumpulan Yayasan Sabah mendaftar bagi mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan yang diberikan melalui portal ini.
“Antara perkhidmatan yang boleh dipohon melalui portal ini termasuk permohonan berkaitan penjadualan semula pinjaman, penangguhan pembayaran, permohonan pembayaran potongan gaji, pemerolehan penyata tahunan dan pengemaskinian maklumat peminjam,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai penambahbaikan portal ini, para peminjam boleh melayari portal tersebut di https://www.yayasansabahgroup.org.my/bppp/index.html yang juga mengandungi panduan kepada peminjam untuk mendaftar dan menggunakan perkhidmatan.
Selain itu, orang ramai boleh melayari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, atau menghubungi talian 011-33181088 / emel [email protected] untuk keterangan lanjut mengenai perlanjutan Program Rebat Madani dan penambahbaikan Portal Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian Kumpulan Yayasan Sabah. – SABAH MEDIA