HomeSukanLebih 120 atlet dan pegawai wakili KYS ke PESAYA ke-15 di Kelantan

Lebih 120 atlet dan pegawai wakili KYS ke PESAYA ke-15 di Kelantan

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu : Seramai lebih 120 atlet dan pegawai akan mewakili Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) ke Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA) ke-15 yang dijadual berlangsung di Kelantan.

Kejohanan yang berlangsung selama 10 hari bermula 12 Julai ini menyaksikan sebanyak 10 acara akan disertai KYS iaitu Badminton, Dart, E-sukan, Futsal (Terbuka dan Veteran), Golf, Tenpin Boling, Karom, Petanque dan Ping Pong.

Sebagai suntikan semangat kepada atlet dan pegawai yang menyertai PESAYA, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar hadir memberi semangat dalam satu majlis ringkas di Kompleks Sukan Tun Adnan, KYS di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu Setiausaha Korporat Yayasan Sabah merangkap Ketua Penyelaras dan Ketua Kontinjen PESAYA ke-15, Hanafiah Diman, Timbalan Ketua Kontinjen 1, merangkap Pengurus Kumpulan Bahagian Akaun dan Perkhidmatan Kewangan (YS/ICSB), Joshua Ho dan Timbalan Ketua Kontinjen 2 merangkap Pengurus Kumpulan Bahagian Audit Dalaman (YS/ICSB), Ainahwati Abdul Sani.

Majlis turut menyaksikan beberapa acara simbolik, antaranya penyerahan bendera kontinjen kepada Ketua Kontinjen PESAYA ke-15 sebagai simbol rasmi penyertaan dan amanah yang diberikan kepada kontinjen untuk mengharumkan nama KYS dan negeri Sabah di peringkat kebangsaan.

Gulamhaidar dalam amanatnya berkata, penyertaan dalam PESAYA bukan sahaja manifestasi kepada semangat kesatuan dan daya saing sihat dalam kalangan warga kerja, tetapi juga membina pasukan kerja yang cemerlang, sihat dan berdaya tahan.

KYS menyertai PESAYA sejak tahun 1990 dan mencatat sejarah sebagai kontinjen paling banyak menjuarai temasya tersebut, dengan lapan gelaran johan serta pencapaian sebagai naib johan pada penganjuran terdahulu.

Dengan semangat baharu dan tekad yang tinggi, kontinjen meneruskan penyertaan kali ini dengan misi menjuarai temasya, selaras dengan motto kontinjen, ‘Yayasan Sabah Jiwa Juara’.

PESAYA 2025 bukan sahaja merupakan medan pertandingan, tetapi juga platform memperkukuh jalinan kerjasama dan perpaduan antara yayasan-yayasan negeri melalui penganjuran aktiviti sukan, kebudayaan serta penghayatan nilai-nilai korporat yang berteraskan semangat kekeluargaan, kerjasama dan kebersamaan.

RELATED ARTICLES
Sukan

Pasukan Kadayan Sarawak juara Kejohanan Golf Se-Borneo Ke-8

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular