Kota Kinabalu: Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 yang akan diadakan selama dua hari bermula Isnin ini dijangka akan menjadi tumpuan ramai.
Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya berkata, mesyuarat berkenaan dianggap sebagai persidangan terakhir sebelum pembubaran DUN Sabah.
“Ikut perlembagaan, setahun sekurang-kurangnya mesti ada tiga persidangan. Mungkin yang menjadi keghairahan orang tentang persidangan kali ini, banyak yang mengandaikan atau merasakan ini adalah sidang yang akhir sebelum pembubaran. Itu yang dia punya hype sikitlah.
“Kalau dari segi persiapan, tidak ada istimewa. Persiapan semua seperti biasa, soalan-soalan pun seperti biasa. Ia hanya takwim untuk sidang yang kedua setiap tahun.

“Kalau bubar selepas ini, dia jadi sidang yang terakhir untuk penggal ini tetapi kalau belum bubar, kita mana tahu ada lagi sidang ketiga untuk memenuhi kehendak perlembagaan. Kebiasaannya sidang kedua ini adalah perbekalan tambahan,” katanya,
Kadzim berkata, mesyuarat itu turut membahaskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Cukai Jualan Negeri (Pindaan) 2025 dan RUU Hutan (Penubuhan Hutan Simpan Pindaan) (Pindaan) 2025 dan RUU baharu, Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025.
“Kali ini selain daripada rang undang-undang perbekalan, kita juga ada tiga rang undang-undang yang lain. Satu mengenai perhutanan, iaitu pindaan. Satu lagi, SST juga pindaan dan satu lagi undang-undang baharu, RUU mengenai Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon.
“Ia bukan belanjawan khas, ia hanya perbekalan tambahan. Tambahan yang benda tidak terbajet dalam bajet lepas tapi sudah perlu dibelanjakan dan itu kita perlu luluskan untuk mendapatkan urusan dewan sebagai perbelanjaan tambahan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai persepsi segelintir masyarakat mengenai kesukaran menembusi premis tersebut, Kadzim menjelaskan, beberapa peraturan perlu dipatuhi para pemerhati.
Katanya, ia adalah selaras dengan perisytiharan DUN Sabah sebagai kawasan larangan dan tempat larangan menerusi warta berkuatkuasa pada 2 September 2024.
“Bukannya kita larang, bukannya kita halang orang daripada datang tapi kita tidak mahu DUN ini menjadi macam satu acara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semua orang berpusu-pusu memandangkan kawasan DUN ini sudah pun diwartakan sebagai tempat dan kawasan keselamatan.
“Jadi, ada had-had yang harus dipatuhi dalam membenarkan orang ramai berada di sekitar Dewan ini. Jadi kalau ada orang cakap susah sekarang masuk mengikuti sidang dewan itu tidak juga betul.
“Banyak juga Ahli-Ahli Yang Berhormat bila ada orang-orang dari kawasan mahu mengikuti sidang Dewan kita benarkan. Tapi tidaklah sehari penuh atau hari-hari datang. Bila wakil rakyatnya mahu berucap dia mahu datang mengikuti secara langsung kita benarkan,” katanya.
Menurutnya, peraturan masuk ke DUN Sabah dan Parlimen juga tidak mempunyai perbezaan kerana premis yang telah diwartakan sebagai kawasan dan tempat larangan semestinya mengutamakan langkah-langkah keselamatan.
“SOP, peraturan pada asasnya sama, cuma Parlimen itu besar. Di sana lagi susah masuk semua pintu guna akses yang dikawal ketat. Kalau setakat ruang legar itu boleh orang masuk tapi dalam dewan bukannya semua orang boleh masuk sewenang-wenang.
“Ruang dewan tempat berbahas, berucap, bila terlalu ramai orang di dalam bercerita dan ia hanya akan mengganggu. Ada yang tidak tahu tertib dewan seperti tidak boleh tepuk tangan. Amalan tepuk meja lebih kepada appreciation sebab ini convention dan ia dibezakan dengan acara-acara konsert, acara-acara perasmian, ia di korum sendiri.
“Macam di mahkamah pun tidak boleh tepuk tangan. Kenapa orang tidak bising mahkamah pun susah masuk,” katanya.
Beliau yang diiringi Setiausaha DUN Sabah Rafidah Maqbool Rahman ditemui media dalam sesi temu bual khas sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Sabah ke-16 di pejabatnya, pada Khamis.