KUALA LUMPUR,— Kerajaan bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel bagi sektor pengangkutan daripada B10 kepada B15 secara beransur-ansur sebagai langkah strategik memperkukuh sekuriti tenaga negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil.6/2026 pada 14 April lepas, dengan pelaksanaan awal bermula pada adunan B12 tanpa melibatkan kos tambahan serta menggunakan infrastruktur sedia ada.
Menurutnya langkah berkenaan merupakan usaha mitigasi dalam menghadapi ketidaktentuan bekalan tenaga global, di samping mengoptimumkan penggunaan sumber tenaga alternatif tempatan.
“Malaysia mempunyai kelebihan strategik sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, sekali gus membolehkan negara mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang diimport,” menurut kenyataan itu.
Program Biodiesel Negara yang dilancarkan sejak 2011 telah melalui beberapa fasa pelaksanaan, bermula dengan B5, diikuti B7 pada 2014 dan B10 pada 2019, manakala pelaksanaan B20 sedang diperluaskan secara berperingkat sejak 2020.
KPK memaklumkan peningkatan kepada B15 turut memberi impak positif kepada industri biodiesel tempatan yang sebelum ini beroperasi di bawah kapasiti sebenar.
Malaysia mencatatkan pengeluaran minyak sawit mentah antara 18 hingga 20 juta tan setahun, dengan keperluan tambahan bagi pelaksanaan B15 dianggarkan sekitar 0.80 juta tan, tanpa menjejaskan bekalan domestik.
Dalam masa sama, kementerian menegaskan bahawa standard biodiesel negara memenuhi piawaian antarabangsa dan tidak menjejaskan prestasi enjin.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong kestabilan industri sawit tempatan, malah menjadi pemangkin kepada daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi krisis tenaga global,” menurut kenyataan itu lagi.
kementerian akan terus komited meneroka peningkatan kadar adunan biodiesel bagi mengoptimumkan perbelanjaan subsidi serta mengurangkan kebergantungan terhadap diesel fosil katanya



