HomeUtamaTanah terbiar akan dibangunkan, bantu tingkat ekonomi penduduk luar bandar - Ruslan

Tanah terbiar akan dibangunkan, bantu tingkat ekonomi penduduk luar bandar – Ruslan

Read Time:1 Minute, 31 Second

BEAUFORT : Kawasan tanah terbiar khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan dikenal pasti untuk dibangunkan semula secara berperingkat bagi meningkatkan hasil pertanian dan memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, antara tumpuan utama adalah mengaktifkan semula kawasan jelapang padi yang tidak diusahakan selain memperluas sektor ternakan seperti kerbau, lembu dan kambing yang sebelum ini kurang dimanfaatkan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan sumber sedia ada dapat digunakan secara optimum, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pengeluaran makanan tempatan.

“Kita melihat masih banyak kawasan sawah padi yang terbiar dan ini akan menjadi keutamaan untuk diaktifkan semula.

“Begitu juga dengan sektor ternakan yang mempunyai potensi besar jika diurus dengan baik dan diberi sokongan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini pada Ahad.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, industri tanaman rumbia atau sagu di daerah Beaufort turut diberi perhatian berikutan potensinya yang semakin berkembang.

Katanya, harga sagu yang mencecah sekitar RM150 bagi 50 kilogram menunjukkan permintaan tinggi, namun penanaman pokok rumbia semakin berkurangan dan perlu dipulihkan.

“Usaha penanaman semula pokok rumbia perlu dipergiat bagi memastikan sumber ini tidak pupus, malah ia berpotensi menjadi produk bernilai tinggi.

“Malah, industri ini juga mempunyai tarikan pelancongan apabila pelawat berminat melihat proses penghasilan sagu dan produk tradisional seperti ambuyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sektor akuakultur khususnya penternakan udang di kampung-kampung seperti Kampung Teretak dan Bintuka menunjukkan perkembangan positif.

Sehubungan itu, kerajaan akan terus memberi sokongan dari segi latihan, kursus serta bantuan teknikal bagi membantu lebih ramai penduduk menceburi bidang berkenaan.

Menurutnya, pendekatan bersepadu melibatkan komuniti setempat, agensi kerajaan dan kepimpinan kampung diyakini mampu mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat di kawasan luar bandar.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis bebas tuduhan miliki syabu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular