HomeUtamaKerajaan rancang bangunkan semula Kampung Bahagia sebagai penempatan sah

Kerajaan rancang bangunkan semula Kampung Bahagia sebagai penempatan sah

Read Time:1 Minute, 16 Second

SANDAKAN: Kerajaan Sabah merancang untuk membangunkan semula kawasan Kampung Bahagia di sini sebagai penempatan sah susulan kebakaran besar yang memusnahkan hampir keseluruhan kawasan tersebut dalam kejadian awal pagi pada Ahad.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kawasan berkenaan sebelum ini merupakan penempatan pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebelum dibangunkan sebagai kawasan perkampungan.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini meneliti beberapa cadangan termasuk usaha menimbus kawasan terjejas bagi tujuan pembinaan semula perumahan, namun ia melibatkan kos yang tinggi serta perlu kajian terperinci.

“Cadangan termasuk menimbus kawasan ini untuk kita bangunkan rumah nanti, tetapi ini melibatkan kos yang agak banyak dan perlu diteliti.

“Laporan penuh dan terperinci mengenai jumlah sebenar mangsa serta situasi semasa dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian dan menyampaikan bantuan kepada mangsa di Dewan PPR Batu Sapi, di sini pada Isnin.

Berdasarkan maklumat awal, katanya, kira-kira 70 peratus mangsa yang terjejas adalah bukan warganegara, manakala selebihnya merupakan warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, Hajiji menegaskan kerajaan negeri akan tetap menyalurkan bantuan kepada semua mangsa tanpa mengira status kewarganegaraan sebagai tanda keprihatinan.

Dalam pada itu, Hajiji memaklumkan sebanyak enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran sementara proses pemulihan dijalankan.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menunggu laporan lengkap serta cadangan daripada pihak berkuasa tempatan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

“Kita terima dulu laporan daripada JPBD Sandakan dan cadangan alternatif sebelum kita ambil tindakan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tanah terbiar akan dibangunkan, bantu tingkat ekonomi penduduk luar bandar –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular