Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Inisiatif Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (RAER) 2025 – 2030 diperkenal sebagai langkah strategik bagi meningkatkan sekuriti makanan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar.
Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata, program Kebun Dapur yang dilaksanakan di bawah RAER adalah bagi menggalakkan pengeluaran hasil pertanian di peringkat isi rumah dengan memanfaatkan ruang di kawasan kediaman.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah memupuk budaya pertanian dalam kalangan masyarakat
“Dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan, sektor pertanian akan terus dimodenkan. Tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan Program Revolusi Padi dan pembangunan bioteknologi bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti pengeluaran.
” Selain itu, aktiviti penyelidikan dan pembangunan varieti baharu serta bahan tanaman berkualiti akan terus dipergiat. Sektor perladangan, khususnya industri sawit, kekal sebagai tunjang utama pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Pembukaan Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 di sini pada Khamis
Tun Musa berkata, bagi memastikan industri itu kekal mampan dan berdaya tahan, Kerajaan Negeri bersama pihak industri serta pekebun kecil akan terus mempertingkatkan produktiviti melalui pelbagai kaedah.
Antaranya, inovasi, mekanisasi, teknologi pertanian berketepatan tinggi, serta penggunaan biojisim secara optimum, sambil memastikan aspek kelestarian terus dipelihara.
“Dalam sektor perikanan, Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada pelaksanaan program berteraskan ekonomi biru. Pelbagai program pembangunan dan sokongan, termasuk pemerkasaan fasiliti jabatan, pengukuhan industri hiliran serta aktiviti konservasi akan dilaksanakan bagi menjamin pengeluaran hasil perikanan yang mampan.
“Kemudahan jeti di Kompleks Perikanan SAFMA juga akan ditambah dengan matlamat untuk menampung peningkatan lebih 20 peratus hasil pendaratan ikan di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, bagi sektor penternakan, Tun Musa berkata, ekosistem industri ternakan negeri akan terus diperkasakan dengan berpaksikan Dasar AgroMakanan Negara 2.0 dan Pelan Strategik Organisasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah 2026 – 2030.
Beliau berkata, tumpuan akan diberikan terhadap peningkatan kadar sara diri (SSR) ruminan, jaminan keselamatan makanan serta pengukuhan sistem kesihatan haiwan di seluruh negeri,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN



