HomeUtamaNexG Perjelas Dakwaan Media, Tegaskan Pematuhan dan Tadbir Urus Diperkukuh

NexG Perjelas Dakwaan Media, Tegaskan Pematuhan dan Tadbir Urus Diperkukuh

Read Time:1 Minute, 37 Second

KUALA LUMPUR, — NexG Berhad menegaskan bahawa semua operasi dan keputusan korporatnya dilaksanakan mengikut kerangka peraturan yang ketat, sambil memperjelas beberapa dakwaan yang timbul susulan laporan media baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu merujuk kepada laporan yang memetik pandangan beberapa ahli akademik yang menimbulkan kebimbangan terhadap operasi, tadbir urus dan kontrak kerajaan namun NexG menyifatkan kenyataan tersebut sebagai berasaskan pemahaman yang tidak lengkap serta tidak tepat mengenai operasi syarikat tersenarai awam dalam persekitaran kawal selia.

NexG menjelaskan bahawa sebagai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, semua aktiviti korporat termasuk pemerolehan dan keputusan strategik telah dilaksanakan mengikut keperluan pendedahan, tertakluk kepada semakan pihak berkuasa serta mendapat kelulusan pemegang saham apabila diperlukan.

Sehubungan itu, syarikat menegaskan bahawa sebarang dakwaan kononnya proses-proses tersebut telah dipintas adalah tidak berasas.

Mengulas gesaan supaya audit forensik dijalankan serta kontrak kerajaan digantung, NexG menyatakan bahawa langkah sedemikian merupakan intervensi serius yang hanya boleh dilaksanakan berdasarkan bukti kukuh, bukannya spekulasi atau andaian awam.

Menurut syarikat, cadangan tanpa asas berkenaan berpotensi mencetuskan kekeliruan serta menjejaskan keyakinan terhadap projek infrastruktur nasional.

Sementara itu, NexG turut memperjelas bahawa kerugian nilai saksama yang dirujuk dalam laporan kewangan adalah pelarasan perakaunan bukan tunai selaras dengan piawaian pelaporan, dan tidak melibatkan kehilangan atau penyelewengan dana.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Ishak Ismail berkata, syarikat kini beroperasi di bawah lembaga baharu dengan mandat jelas untuk memperkukuh integriti, ketelusan dan disiplin operasi.

Beliau berkata, isu-isu lampau telah ditangani dan syarikat kini memberi tumpuan kepada hala tuju masa depan dengan komitmen penuh terhadap pematuhan serta kepentingan negara.

NexG turut menegaskan komitmennya untuk terus mengamalkan tadbir urus korporat yang kukuh, mematuhi semua keperluan peraturan serta menyokong pembangunan infrastruktur keselamatan negara, selain menyeru semua pihak merujuk kepada fakta sahih dan pendedahan rasmi dalam membuat penilaian.

NexG Berhad, sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Berhad, merupakan penyedia penyelesaian teknologi keselamatan bersepadu yang terlibat dalam projek kritikal negara termasuk MyKad, ePasport dan sistem biometrik. Syarikat ini telah disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2012.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki larikan Hilux selepas kemalangan dipenjara 14 bulan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular