HomeUtamaSabah kaji cadangan hidupkan semula barter trade dengan selatan Filipina

Sabah kaji cadangan hidupkan semula barter trade dengan selatan Filipina

Read Time:1 Minute, 43 Second

SANDAKAN: Kerajaan negeri akan mengkaji cadangan menghidupkan semula perdagangan tukar barang atau ‘barter trade’ antara Sabah dan selatan Filipina.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pihaknya menerima banyak cadangan berhubung perkara itu, namun kajian terperinci perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, pelbagai aspek perlu diteliti, khususnya melibatkan keselamatan serta manfaat kepada peniaga dan ekonomi negeri.

“Kita akan kaji perkara ini kerana banyak pihak mengemukakan cadangan. Semua aspek akan diambil kira, terutama dari segi keselamatan dan kebaikannya kepada ekonomi kita.

“Kita juga akan membincangkannya dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja ke beberapa pulau yang menempatkan pos keselamatan negara di perairan Sandakan, pada Selasa.

Lawatan itu diadakan sempena Program Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE), yang turut disertai Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Komander Eastern Sabah Security Command, Datuk Victor Sanjos.

Turut serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Jafry Arifin; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; serta beberapa pembantu menteri, pegawai kanan kerajaan, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Hajiji bersama rombongan memulakan lawatan ke Pulau Bakungan Kecil sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Selingan dan Pulau Langkayan.

Mengulas lawatan itu, beliau berkata ia bertujuan meninjau keadaan pulau yang menempatkan anggota keselamatan termasuk polis, tentera serta penguat kuasa Taman-Taman Sabah.

“Hasil tinjauan mendapati kesiapsiagaan pasukan keselamatan berada pada tahap baik, termasuk fasiliti di pos kawalan yang turut ditambah baik.

“Saya telah membawa perkara ini kepada Perdana Menteri dan sejumlah peruntukan sudah disalurkan bagi menambah aset, walaupun masih banyak diperlukan,” katanya.

Menurutnya, aset keselamatan yang mencukupi amat penting bagi memantau perairan negara, khususnya dalam mengekang sebarang ancaman pencerobohan.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa tahap keselamatan yang kukuh di pantai timur Sabah mampu merangsang aktiviti ekonomi, terutama sektor pelancongan.

“Sudah lama tiada insiden dilaporkan di perairan kita. Keadaan ini memberi keyakinan kepada pelancong untuk datang, sekali gus merancakkan sektor pelancongan.

“Pulau seperti Sipadan Island menjadi antara destinasi selaman terbaik dunia, jadi aspek keselamatan perlu terus diperkukuh,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki larikan Hilux selepas kemalangan dipenjara 14 bulan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular