HomeUtamaRanjau politik Sabah kuatkan semangat perjuangan GRS - Hajiji

Ranjau politik Sabah kuatkan semangat perjuangan GRS – Hajiji

Read Time:2 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Ranjau dan cabaran politik yang dihadapi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2020 telah memperkukuh semangat perjuangan gabungan itu untuk terus mempertahankan kestabilan politik dan membela kepentingan rakyat Sabah.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengalaman berdepan pelbagai ujian politik menjadi pengajaran penting kepada semua pemimpin dalam gabungan berkenaan agar terus kekal bersatu dan tidak mudah goyah dengan kepentingan peribadi.

Beliau berkata, GRS ditubuhkan atas kesedaran bahawa rakyat Sabah mahu masa depan negeri ini ditentukan oleh kepimpinan tempatan yang mampu bercakap dengan suara sendiri, membuat keputusan sendiri dan mempertahankan hak rakyat Sabah dengan lebih berani serta bermaruah.

“Sabah ketika itu memerlukan satu kekuatan tempatan yang mampu bercakap dengan suara sendiri, membuat keputusan sendiri dan mempertahankan kepentingan rakyat Sabah.

“Sebab itulah GRS ditubuhkan dan daripada perjuangan itulah lahirnya Parti Gagasan Rakyat Sabah sebagai tunjang utama untuk memastikan rumah politik Sabah ini terus kukuh, stabil dan dipimpin oleh perjuangan yang berpaksikan rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Agung Khas Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, realiti politik Sabah menunjukkan tidak semua parti dan pemimpin mampu kekal istiqamah dalam perjuangan bersama, terutama apabila pilihan raya semakin hampir dan soal kuasa serta kedudukan mula menjadi pertimbangan.

Katanya, keadaan itu membolehkan rakyat menilai sendiri siapa yang benar-benar ikhlas memperjuangkan kepentingan Sabah.

“Dahulu ada yang paling lantang bercakap tentang Sabah mesti kuat seperti Sarawak. Mereka menyeru supaya parti-parti tempatan bersatu demi maruah politik Sabah.

“Tetapi apabila tiba musim ujian, ada yang memilih untuk keluar, membawa haluan sendiri, malah meninggalkan perjuangan hanya kerana jawatan yang diharapkan tidak menjadi miliknya,” katanya.

Menurut beliau, setiap episod politik yang berlaku harus dijadikan pengajaran bahawa perjuangan sebenar hanya dapat dibuktikan apabila kepentingan peribadi diketepikan demi kestabilan dan kekuatan bersama.

“Kalau benar kita mahu Sabah kuat seperti Sarawak, kekuatan itu tidak boleh lahir daripada ego politik yang berpecah-pecah.

“Setiap kali ada yang memilih untuk pergi, Gagasan Rakyat tidak boleh menjadi lemah. Sebaliknya kita mesti menjadi lebih kuat, lebih tenang, lebih matang dan lebih bersatu mempertahankan rumah kita ini,” katanya.

Hajiji turut mengingatkan pemimpin politik agar tidak terlalu sibuk berlumba untuk dilihat paling lokal atau paling lantang bersuara, kerana rakyat tidak hidup dengan retorik semata-mata.

Katanya, rakyat mahu kerajaan yang stabil, ekonomi yang berkembang, peluang pekerjaan, pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak serta penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi.

“Itulah ukuran politik yang sebenar. Kalau kita terlupa perkara ini, mungkin kita menang di pentas ucapan sahaja tetapi kalah dalam keyakinan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sebagai Pengerusi GRS dan Ketua Menteri Sabah, tanggungjawab yang dipikul amat besar dan setiap keputusan politik mesti dibuat dengan pertimbangan yang matang demi memastikan rumah besar yang dibina terus kukuh dan mampu diwariskan kepada generasi akan datang.

Hajiji turut menegaskan rakyat perlu menilai pencapaian Kerajaan GRS secara adil berdasarkan realiti semasa, memandangkan kerajaan itu mengambil alih pentadbiran ketika Sabah berdepan kesan pandemik COVID-19, ekonomi yang terjejas dan pelbagai isu pembangunan yang tertangguh.

Namun, katanya, kerajaan memilih untuk bekerja dan bukan mencari alasan dengan menyusun semula keutamaan pentadbiran, memperkemas tadbir urus serta memberi tumpuan kepada kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan pembangunan jangka panjang.

“Itulah disiplin Sabah Maju Jaya (SMJ) yang saya bawa. Kita tidak menjanjikan perubahan hanya di pentas ucapan, tetapi membina perubahan melalui dasar, pelaksanaan dan hasil yang boleh dirasai rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PolitikUtama

Persidangan Khas Gagasan Rakyat: 26 bahagian baharu kukuhkan parti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular