KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan berhubung penyaluran dana asing kepada beberapa individu, ahli politik dan organisasi yang didakwa digunakan bagi membiayai aktiviti berkaitan propaganda politik, operasi siber serta mobilisasi demonstrasi.
Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, dakwaan berkenaan wajar diberi perhatian serius kerana melibatkan isu keselamatan negara, kedaulatan politik dan kestabilan institusi demokrasi.
Menurut beliau, sekiranya terdapat unsur pembiayaan luar yang disalahgunakan untuk mempengaruhi landskap politik domestik, perkara itu perlu disiasat secara telus tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak yang terlibat.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, AMK merujuk kepada dakwaan yang sedang tersebar mengenai transaksi kewangan melibatkan The Tides Foundation kepada sebuah syarikat tempatan, MANDIRI Development Centre Sdn. Bhd., yang didakwa membabitkan tiga transaksi dengan jumlah keseluruhan melebihi RM1.5 juta.
Menurut kenyataan itu, transaksi yang didakwa berlaku masing-masing bertarikh 27 November 2024 berjumlah RM233,322.20, 12 Mac 2025 sebanyak RM658,555 dan 6 Jun 2025 berjumlah RM628,270.
AMK turut merujuk kepada dakwaan bahawa sepanjang tempoh 2024 hingga 2025, terdapat tujuh transaksi bernilai RM686,729 yang didakwa disalurkan kepada Amir Hariri Abdul Hadi serta beberapa individu lain yang dikaitkan dengan MANDIRI.
Menurut kenyataan berkenaan, dana tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan aktiviti politik tertentu termasuk operasi media sosial dan mobilisasi protes jalanan.
Bagaimanapun, AMK menegaskan bahawa semua dakwaan berkenaan perlu disahkan melalui siasatan pihak berkuasa yang bebas dan berlandaskan undang-undang.
Sehubungan itu, AMK menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi berkaitan menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap dakwaan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya siasatan mendapati wujud sebarang pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut peruntukan sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA), serta Akta Pertubuhan 1966.
AMK berkata Malaysia tidak seharusnya menjadi medan campur tangan mana-mana kuasa asing melalui pembiayaan yang boleh mempengaruhi proses politik negara, sambil menegaskan bahawa kestabilan politik dan keyakinan terhadap institusi negara perlu terus dipelihara dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Setakat ini, dakwaan yang dibangkitkan dalam kenyataan tersebut belum disahkan oleh pihak berkuasa, manakala tiada sebarang keputusan siasatan atau pertuduhan berkaitan perkara itu diumumkan.



