KOTA KINABALU : Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menggunakan data psikometrik bagi mengenal pasti murid yang berisiko terlibat dalam perlakuan buli sebagai langkah pencegahan awal untuk membendung gejala tersebut di sekolah.
Pengarah JPNS, Datuk Raisin Saidin berkata, instrumen psikometrik yang digunakan membolehkan pihak sekolah mengenal pasti kecenderungan, minat, tabiat serta tingkah laku murid yang memerlukan perhatian dan intervensi khusus.
Beliau berkata, data yang diperoleh membantu pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) merancang tindakan susulan yang bersesuaian bagi mengelakkan murid berisiko daripada terjebak dalam perbuatan buli.
“Kita juga mempunyai data berkaitan murid-murid melalui psikometrik mereka di mana kita dapat mengenal pasti kecenderungan mereka.
“Jabatan sentiasa mengingatkan PPD dan sekolah supaya melaksanakan intervensi yang sesuai dengan mengenal pasti kumpulan yang berisiko membuli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengumumkan keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Wisma Pendidikan di sini pada Khamis.
Raisin berkata demikian diminta mengulas mengenao pelancaran Tribunal Anti-Buli yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya menyedari setiap murid datang daripada latar belakang yang berbeza dan faktor tersebut berkemungkinan mempengaruhi tingkah laku mereka di sekolah.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan yang diambil JPNS bukan hanya tertumpu kepada tindakan disiplin semata-mata, malah memberi penekanan kepada usaha membantu murid yang dikenal pasti berisiko.
“Kita tahu latar belakang murid berbeza-beza yang mungkin menyebabkan mereka bersikap sedemikian, tetapi kita sangat prihatin terhadap masa depan mereka.
“Walaupun mereka didapati mempunyai kecenderungan untuk membuli, jabatan tidak membiarkan mereka begitu sahaja, mereka perlu dibantu,” katanya.
Raisin berkata, kumpulan murid berisiko itu akan diberikan intervensi yang bersesuaian berdasarkan dapatan instrumen yang digunakan bagi memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan untuk memperbaiki tingkah laku.
Katanya, usaha berterusan itu adalah sebahagian daripada komitmen JPNS untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif bagi semua murid, selain memastikan isu buli dapat ditangani secara lebih berkesan melalui pendekatan pencegahan dan pemulihan.



