HomeUtamaSPANS terima hampir 500,000 permohonan jawatan tahun lalu

SPANS terima hampir 500,000 permohonan jawatan tahun lalu

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) menerima hampir 500,000 permohonan bagi pengisian jawatan kosong dalam perkhidmatan awam negeri sepanjang tahun lalu.

Pengerusi SPANS, Tan Sri Sukarti Wakiman berkata, jumlah permohonan tersebut melibatkan dua siri pengambilan yang dilaksanakan sepanjang tahun berkenaan.

Beliau berkata, siri pertama pengambilan menerima kira-kira 230,000 permohonan, manakala siri kedua pula merekodkan lebih 150,000 permohonan daripada calon yang berminat mengisi jawatan yang ditawarkan.

Pengerusi SPANS, Tan Sri Sukarti Wakiman

“Apabila kita mengiklankan jawatan-jawatan kosong, bilangan permohonan yang diterima amat menggalakkan. Secara keseluruhan, jumlah permohonan yang diterima hampir 500,000.

“Namun dari segi lantikan, kita melihat kepada keperluan. Jabatan-jabatan atau kementerian akan mengemukakan kepada SPANS jawatan kosong yang perlu diisi dan SPANS akan membuat pengiklanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Khamis.

Sukarti berkata, kunjungan tersebut merupakan program tahunan SPANS bagi menyerahkan laporan aktiviti suruhanjaya itu sepanjang tahun lalu kepada Tun Musa.

Dalam pada itu, beliau berkata SPANS turut terlibat dalam pelbagai program termasuk menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam seluruh Malaysia pada tahun lalu.

Katanya, pertemuan berkenaan penting bagi membolehkan semua suruhanjaya perkhidmatan awam berkongsi pengalaman serta membincangkan aspek pengurusan sumber manusia dalam perkhidmatan awam.

“SPANS juga dijadual menghadiri pertemuan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dan negeri-negeri lain pada Julai ini bagi berbincang serta berkongsi pengalaman tentang pengurusan sumber manusia di negeri masing-masing,” katanya.

Selain itu, beliau berkata ahli-ahli SPANS turut turun ke daerah-daerah bagi melaksanakan sesi temu duga untuk pengisian jawatan yang telah diiklankan dari semasa ke semasa.

Katanya, langkah tersebut memastikan proses pengambilan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan selain memenuhi keperluan tenaga kerja dalam perkhidmatan awam negeri.

RELATED ARTICLES
Utama

SEC rangka pelan pembangunan tenaga lima tahun untuk Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular