HomePolitikHubungan PH-GRS kekal baik, rundingan kerusi akan dibincang – Mustapha

Hubungan PH-GRS kekal baik, rundingan kerusi akan dibincang – Mustapha

Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini berada dalam keadaan baik meskipun pelbagai pandangan mengenai pembahagian kerusi pilihan raya mula dibangkitkan oleh parti-parti politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi PH Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata, kenyataan berhubung pembahagian jumlah kerusi yang ingin ditandingi merupakan perkara biasa dalam politik.

Beliau berkata, keputusan muktamad hanya akan ditentukan selepas rundingan dan perbincangan antara parti-parti yang terlibat.

“Ya, itu pandangan mereka (GRS), tetapi akhirnya nanti akan ada perbincangan-perbincangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Gelanggang Futsal Kampung Darau Laut, di sini, pada Sabtu.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor yang memberi bayangan untuk bertanding di 25 kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

Menurut beliau, setiap parti mempunyai hak untuk menyatakan pendirian dan aspirasi masing-masing berhubung jumlah kerusi yang mahu ditandingi, selagi keputusan rasmi belum dibuat.

“Selagi belum diputuskan, saya fikir masing-masing boleh mengutarakan pandangan masing-masinglah berapa kerusi yang mereka mahu bertanding.

“Setakat ini alhamdulillah (kerjasama) berjalan baik dan kita juga sebenarnya sebahagian daripada kerajaan negeri. Jadi hubungan itu amat baik,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan PH sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah membolehkan hubungan kerja antara pemimpin dan parti dalam kerajaan terus diperkukuhkan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

Bagaimanapun, Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) menegaskan bahawa pendekatan yang lebih realistik perlu diambil berdasarkan landskap politik semasa di Sabah yang semakin kompleks dan memerlukan kerjasama antara pelbagai parti.

“Namun akhirnya kita kena praktikal juga di Sabah ini, terutamanya bahawa zaman sekarang ini untuk satu-satu parti memonopoli sesuatu Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah tidak realistik,” katanya.

Beliau berkata, faktor tersebut menjadikan kerjasama politik antara parti-parti di peringkat negeri dan Persekutuan sebagai satu keperluan bagi memastikan kestabilan politik dan pentadbiran dapat dikekalkan.

“Jadi perlu ada kerjasama, terutama melibatkan Persekutuan dan juga negeri. Jadi itu biasa. Kita lihatlah perkembangan nanti macam mana,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tinggal lebih masa di Sabah, warga asing didenda RM10,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular