HomeUtamaMasjid Nur Hidayah perkasa komuniti menerusi kursus pembuatan meatball halal

Masjid Nur Hidayah perkasa komuniti menerusi kursus pembuatan meatball halal

Read Time:1 Minute, 24 Second

KENINGAU: Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pembangunan komuniti apabila menganjurkan Kursus Pembuatan Meatball Halal yang disertai seramai 22 peserta di masjid berkenaan, pada Rabu.

Program anjuran Biro Kebajikan dan Muslimah Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor itu bertujuan meningkatkan kemahiran penyediaan makanan halal di samping membuka peluang keusahawanan kepada peserta.

Kursus berkenaan dikendalikan oleh Suriaty Rahmat yang berkongsi teknik menghasilkan meatball buatan sendiri secara halal, bersih, selamat dan berkualiti, selain membantu menjimatkan kos perbelanjaan isi rumah.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles.

Dalam ucapannya, Yazid merakamkan penghargaan kepada Biro Kebajikan dan Muslimah serta seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen menjayakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Suriaty atas kesudian berkongsi ilmu dan pengalaman dalam penyediaan makanan halal yang berkualiti.

“Program seperti ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta, malah membantu keluarga menyediakan makanan yang lebih bersih, selamat dan diyakini halal, di samping mengurangkan kos perbelanjaan harian.

“Lebih penting, kemahiran yang diperoleh boleh dijadikan asas kepada perusahaan kecil atau perniagaan dari rumah yang berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada keluarga,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran kursus berasaskan kemahiran selaras dengan usaha memperkasa masyarakat melalui penguasaan ilmu praktikal yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti.

Katanya, institusi masjid tidak seharusnya berfungsi sebagai tempat ibadah semata-mata, sebaliknya perlu terus diperkasakan sebagai pusat pembangunan ilmu, kebajikan, kemahiran dan ekonomi ummah yang memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak program latihan dan kursus kemahiran dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi melahirkan masyarakat yang lebih berdaya saing, berdikari dan mempunyai nilai tambah dalam pelbagai bidang.

RELATED ARTICLES
Utama

KPDN Labuan siasat kedai serbaneka, papar harga mengelirukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular