RANAU: Seramai 34 pengusaha pertanian di daerah ini menerima pensijilan myGAP (Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia) dan myOrganic (Skim Pensijilan Organik Malaysia) dalam usaha memperkukuh pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti, selamat dan berdaya saing.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, pengusaha pertanian dan pengguna kini semakin peka terhadap aspek kualiti, keselamatan serta kesegaran makanan yang dihasilkan dan dinikmati setiap hari.
Katanya, dalam konteks itu, program pensijilan myGAP dan myOrganic yang diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Sabah sejak 2002 memainkan peranan penting dalam memastikan sektor pertanian negeri terus berkembang secara mampan dan memenuhi kehendak pasaran semasa.

“Pensijilan myGAP menitikberatkan amalan pertanian yang baik, meningkatkan hasil, mesra alam dan menjaga kebajikan pekerja, selain memastikan hasil tanaman adalah selamat dimakan, bersih dan berkualiti.
“Manakala myOrganic pula merupakan pengiktirafan kepada pengusaha pertanian yang mengamalkan sistem pengeluaran menggunakan sepenuhnya bahan semula jadi tanpa penggunaan racun kimia sintetik.
“Kedua-dua pensijilan ini bukan sahaja menjamin kualiti dan keselamatan makanan, tetapi juga memberi manfaat dalam meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan, memperkukuh penjenamaan hasil ladang di pasaran domestik dan antarabangsa serta membuka akses pasaran premium dan eksport yang lebih luas,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran myGAP dan myOrganic Kundasang 2026 di Dewan Terbuka Pekan Kundasang, di sini, pada Ahad.
Joachim berkata, pengusaha pertanian khususnya di kawasan Kundasang perlu merebut peluang menyertai program pensijilan berkenaan dengan memanfaatkan khidmat nasihat, bimbingan serta pelbagai insentif yang disediakan oleh Jabatan Pertanian Sabah.
Beliau turut menyeru lebih ramai pengusaha tampil mendapatkan pensijilan myGAP atau myOrganic, selain memperluaskan pelaksanaan Agro Green Zone sebagai langkah memperkukuh sektor pertanian tempatan.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha memastikan produk pertanian sentiasa berkualiti, terjamin dan mencukupi tidak terlepas daripada pelbagai cabaran semasa, khususnya kesan tekanan krisis global terhadap sektor pengeluaran makanan negara.
Menurutnya, antara kesan ketara yang sedang dihadapi ialah peningkatan kos operasi, kenaikan harga input pertanian seperti baja dan racun, penurunan hasil komoditi serta gangguan pasaran.
“Faktor-faktor ini secara langsung mempengaruhi kuantiti pengeluaran, harga pasaran, kos pengeluaran dan pengangkutan, kebajikan pekerja serta aspek pengurusan ladang secara keseluruhan.
“Saya percaya Jabatan Pertanian akan terus memberi bimbingan dan khidmat nasihat kepada pengusaha dalam mengurus serta mengendalikan ladang supaya kesan tekanan krisis global ini dapat diminimumkan,” katanya.
Beliau menegaskan, pensijilan myGAP dan myOrganic bukan sahaja memberi nilai tambah kepada produk pertanian tempatan, malah membuka peluang pasaran yang lebih luas termasuk ke peringkat antarabangsa dan eksport.
Hadir sama Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Elmer M. Sator; dan Pegawai Pertanian Kanan Pejabat Pertanian Ranau, Kelvin Kalianon.



