KOTA KINABALU: Datuk Abidin Madingkir hari ini secara rasmi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sekali gus memperkukuh sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Turut menyertai Gagasan Rakyat ialah 30 bekas Ahli Jawatankuasa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan.
Borang keahlian Abidin bersama kesemua ahli baharu diserahkan kepada Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.
Turut mengemukakan borang permohonan menyertai Gagasan Rakyat ialah bekas pegawai kanan Kerajaan Negeri merangkap bekas Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman.
Abidin berkata, lebih 3,000 penduduk di kawasan DUN Paginatan dijangka akan mengikut jejak beliau menyertai Gagasan Rakyat kerana yakin parti itu merupakan wadah terbaik untuk memperkukuh perjuangan parti tempatan di Sabah.
Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas pertimbangan teliti demi meneruskan perjuangan politik melalui sebuah parti yang mengutamakan kepentingan Sabah dan rakyatnya.
“Gagasan Rakyat membawa aspirasi rakyat Sabah di samping memperkukuhkan kestabilan politik yang menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan negeri,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk memperluaskan pengaruh Gagasan Rakyat di peringkat akar umbi serta bekerjasama rapat dengan kepimpinan parti bagi memastikan agenda pembangunan Sabah terus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir pada majlis penyerahan borang keahlian itu ialah bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan, Hisyamuddin Harun; bekas Timbalan Ketua Bahagian STAR Paginatan, Jius Konsuling; bekas Ketua Pemuda STAR Paginatan, Hillary Salmeon; serta Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.



