KENINGAU: Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh jaringan kerjasama dalam memperluaskan akses kepada pendidikan, intervensi awal serta sokongan menyeluruh kepada anak-anak berkeperluan pendidikan khas di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha itu akan diperkukuhkan menerusi kerjasama strategik melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, sekolah, ibu bapa, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, kerajaan komited memastikan golongan berkeperluan khas terus mendapat peluang pendidikan yang inklusif serta perkhidmatan sokongan yang diperlukan bagi membantu perkembangan mereka.
“Malah, untuk tahun ini sahaja kerajaan memperuntukkan sebanyak RM173.56 juta kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat serta jabatan dan agensi di bawahnya bagi melaksanakan agenda kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Dalam konteks kerajaan negeri, kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan termasuk kebajikan orang kelainan upaya (OKU), anak yatim, warga emas, ibu tunggal serta golongan daif dan miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian The Neurohope Programme 2026 di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, di sini, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, pelbagai inisiatif kebajikan terus dilaksanakan kerajaan negeri termasuk Program Bantuan Kebajikan yang merangkumi Skim Bantuan OKU, warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, Skim Bantuan Anak Yatim serta Program Bantuan Makanan kepada golongan daif dan miskin.
Beliau berkata, kerajaan turut memperluaskan penyediaan Pusat Autisme Sabah (PAUS) bagi meningkatkan akses kepada pendidikan awal yang berkualiti dan mampu milik untuk kanak-kanak autisme.
“Ketika ini PAUS Kota Kinabalu di Sembulan telah beroperasi dengan baik dan menempatkan kanak-kanak autisme di sekitar Kota Kinabalu.
“Pusat ini menyediakan pendidikan awal berkualiti dan mampu milik kepada kanak-kanak autisme berusia tiga hingga tujuh tahun. Ia juga akan diwujudkan secara berfasa di Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort mulai tahun ini,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran The Neurohope Programme 2026, Hajiji berkata program itu merupakan satu gerakan komuniti yang menghimpunkan sektor pendidikan, kesihatan, kerajaan, pertubuhan masyarakat, ibu bapa dan komuniti dengan matlamat memperkukuh sokongan terhadap perkembangan setiap anak.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan orang ramai agar memanfaatkan platform berkenaan untuk menambah ilmu, berkongsi pengalaman serta berganding bahu membina ekosistem sokongan yang lebih holistik kepada anak-anak berkeperluan khas.
“Kita sedar sokongan bukan sahaja datang daripada keluarga terdekat, malah memerlukan dokongan padu daripada komuniti, pakar kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga SK Bingkor yang berjaya menjadikan sekolah sebagai pusat pembangunan komuniti serta mengucapkan tahniah kepada Dr. Velerie Primus atas kejayaan mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan pendidikan inklusif.
Hajiji berharap The Neurohope Programme dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah, komuniti dan daerah di seluruh Sabah agar menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh pendidikan inklusif, memperkasa institusi keluarga serta membina masyarakat yang lebih prihatin terhadap keperluan setiap anak.



