Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu membabitkan sebuah iPhone 16 Pro Max bernilai RM4,400, tahun lalu.
Tertuduh, Choo Yu Ping, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amir Syah Amir Hassan.
Mengikut pertuduhan, Choo didakwa dengan curangnya mendorong seorang lelaki menyerahkan sebuah telefon iPhone 16 Pro Max 512GB bernilai RM4,400 yang tidak akan diserahkan mangsa sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 11 November 2025, jam 6.30 petang, di ruang pintu masuk utama Hospital Queen Elizabeth.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, serta sebat dan juga denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 15 September.
Sementara itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, jika ada, sehingga kes selesai, melapor diri di Balai Polis Menggatal pada setiap hari pertama setiap bulan sehingga perbicaraan selesai, serta tidak mengganggu atau menghubungi mana-mana saksi pendakwaan termasuk pengadu.
Mahkamah turut menasihatkan tertuduh supaya mendapatkan khidmat peguam.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



