Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu yang baharu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain, beriltizam memperkukuh profesionalisme pasukan, memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara adil dan tegas, serta mempererat hubungan dengan masyarakat sebagai teras kepimpinannya.
Beliau berkata, tiga keutamaan itu akan menjadi panduan dalam memastikan keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam di daerah ini terus dipelihara.
“Fokus kepimpinan saya bukan untuk merombak dasar sedia ada, sebaliknya meneruskan legasi kecemerlangan yang telah dibina dengan penambahbaikan secara berterusan agar hala tuju IPD Kota Kinabalu sentiasa selari dengan aspirasi pucuk pimpinan PDRM.
“Selaras dengan aspirasi kepimpinan tertinggi PDRM, saya akan memberi keutamaan kepada tiga fokus utama, iaitu memperkasa profesionalisme pasukan, melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara adil dan tegas serta memperkukuh jalinan kerjasama dengan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Shahrudin berkata, seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu perlu bergerak sebagai satu pasukan dalam menterjemahkan visi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai peneraju keselamatan negara yang dipercayai dan berintegriti.
Menurutnya, kejayaan merealisasikan tiga fokus utama itu memerlukan sokongan berterusan daripada kepimpinan Polis Kontinjen Sabah, seluruh warga PDRM, agensi kerajaan serta masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jauteh dan barisan kepimpinan PDRM atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui IPD Kota Kinabalu.
Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, atas kepimpinan, dedikasi dan integriti yang ditunjukkan sepanjang memangku jawatan berkenaan.
Shahrudin berkata, keamanan merupakan asas kepada kemakmuran, justeru beliau komited mencurahkan sepenuh tenaga bagi memastikan Kota Kinabalu terus kekal aman, selamat dan kondusif melalui kerjasama erat antara PDRM, agensi sahabat serta masyarakat.
“Komitmen saya adalah jelas dan teguh, iaitu memastikan seluruh warga IPD Kota Kinabalu bergerak seiring dan senada dalam menterjemahkan visi PDRM sebagai peneraju keselamatan negara yang dipercayai dan berintegriti.
“Dalam melaksanakan amanah ini, saya bertanggungjawab memacu pasukan agar berkhidmat secara profesional, menguatkuasakan undang-undang dengan adil dan tegas serta memperkukuh sinergi bersama masyarakat. Tiga paksi ini menjadi komitmen peribadi saya demi menjamin keselamatan dan ketenteraman di daerah ini,” katanya.



