HomeUtamaHajiji mahu perkembangan positif ESS Zone dipromosi kepada wakil asing

Hajiji mahu perkembangan positif ESS Zone dipromosi kepada wakil asing

Read Time:1 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu perkembangan positif di di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) disampaikan dengan lebih berkesan kepada perwakilan asing, termasuk kedutaan dan suruhanjaya tinggi ke negara ini.

“Ini penting supaya mereka dapat menilai semula dan seterusnya mempertimbangkan penurunan tahap nasihat perjalanan ke Sabah Timur berdasarkan perkembangan positif di mana tiada kes penculikan untuk wang tebusan dilaporkan di kawasan terbabit sejak Januari 2020.

“Ini akan meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa dan menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke Sabah, khususnya untuk menikmati pelbagai destinasi pelancongan menarik di Pantai Timur negeri ini,” katanya pada mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone di Menara Kinabalu hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan bersama Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Secara keseluruhannya, keadaan keselamatan di ESS Zone adalah baik dan terkawal. Baru-baru ini, saya sendiri telah melawat enam buah pulau di perairan Sabah untuk meninjau pospos kawalan serta melihat tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan di lapangan,” katanya.

Menurut beliau, ketiadaan laporan kes penculikan untuk tebusan wang sejak enam tahun lalu merupakan satu pencapaian penting buat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta semua agensi keselamatan.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ESSCOM, PDRM, ATM, APMM serta semua agensi keselamatan atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan perairan dan daratan Sabah Timur,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan semua agensi berkaitan bagi memperkukuh keupayaan operasi, aset, kesiapsiagaan serta kebajikan anggota keselamatan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman.

RELATED ARTICLES
Utama

Lima didakwa kemuka dokumen palsu tuntutan insentif PERKESO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular